Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

16 April, 2010

Pesta Benak bakal tarik 20,000 pengunjung 28 April - 2 Mei ini


Caption: UMUM...Shamshuddin (tengah) sambil diapit oleh Desmond (kiri) dan Felicia (kanan) sedang mengumumkan acara yang bakal berlangsung pada Pesta Benak Sri Aman 2010 ini nanti ketika berlangsungnya sidang media hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (16 April) - Bandar Sri Aman dijangka menjadi tumpuan sekitar 20,000 orang pengunjung ketika berlangsungnya sambutan Pesta Benak Sri Aman 2010 bermula 28 April hingga 2 Mei ini nanti.

Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji berkata Pesta Benak Sri Aman 2010 yang menelan belanja sekitar RM500,000 ini akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti dan acara menarik ketika berlangsungnya sambutan pesta terbabit selama lima hari nanti.

Antara aktiviti terbabit adalah Demontrasi Lumba Benak Berperahu, Regatta, Sukaneka Air, Jualan Beraneka dan Promosi Produk, Agensi Bersama Pelanggan, Uji Bakat Bintang Kecil, Bintang P. Ramlee dan Bintang Klasik, Pameran dan Fotografi Benak, Pertandingan Shuffle, Wayang Pacak, Pentas Budaya 1Malaysia, Sri Aman Kicthen, Pertandingan Street Soccer, Pertandingan Andaman Pengantin, Malam Peragaan dan Pertandingan Fesyen "Tidak Bore Wave", Pertandingan Tandak Melayu dan Tarian Ngajat, Rythm Of 1Malaysia, Benak Idol, Konsert Astro Live dan banyak lagi.

Jualan Beraneka dan Promosi Produk, Agensi Bersama Pelanggan, Uji Bakat Bintang Kecil, Bintang P. Ramlee dan Bintang Klasik, Pameran dan Fotografi Benak, Pertandingan Shuffle, Wayang Pacak dan Pentas Budaya 1Malaysia kata Shamshuddin akan bermula pada 28 April ini.

Manakala pelancaran Kempen Pengurangan Gula, Sri Aman Kicthen, Pertandingan Street Soccer, Pertandingan Andaman Pengantin, Malam Peragaan dan Pertandingan Fesyen "Tidak Bore Wave" serta Lumba Benak Berperahu pula akan bermula pada 29 April.

"Acara kegemaran pengunjung iaitu Regatta akan bermula pada 30 April. Acara yang turut bermula pada masa itu juga adalah Pertandingan Tandak Melayu dan Tarian Ngajat serta Rythm Of 1Malaysia.

"Pada 1 Mei akan berlangsung Pertandingan Memancing, Sukan Rakyat, Pameran Motor Berkuasa Tinggi, Rythm Of 1Malaysia, Sayembara Deklamaasi Puisi 1Malaysia Meniti 1Malaysia dan Konsert Astro Live," katanya ketika sidang media di Pejabat Residen Sri Aman hari ini.

Manakala itu pada akhir sambutan Pesta Benak ini kata Shamshuddin bakal diadakan pula Sukaneka Air dan Benak Idol pada 2 Mei ini.

"Kesemua aktiviti ini akan diadakan di sepanjang Taman Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman hingga ke Stesen Pemerhatian Benak, di pentas kebudayaan dalam laluan Jalan Kelab dan laluan Jalan Main Bazaar serta Jalan Astana.

"Kemuncak acara ini ialah Majlis Perasmian Pesta Benak dan Stesen Pemerhatian benak serta pelancaran Buku Bergambar "Sri Aman Mansang Maju" yang akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud di Stesen Pemerhatian Benak pada 28 April jam 9 pagi," katanya.

Selain itu pihaknya kata Shamshuddin telah bertindak memilih tarikh 28 April hingga 2 Mei ini bagi tujuan sambutan Pesta Benak memandangkan gelombang Benak dijangka mencecah paras ketinggian antara 6.0 hingga 6.3 meter di Sungai Batang Lupar bermula dari tarikh itu nanti.

Para pengunjung kata Shamhsuddin akan berpeluang menyaksikan fenomena Benak dengan aras gelombang yang tinggi serta menarik di sepanjang Sungai Batang Lupar pada waktu pagi (4.27 pagi - 7.34 pagi) dan petang (4.17 petang - 6.38 petang) bermula dari tarikh yang dinyatakan.

"Tujuan utama Pesta Benak ini diadakan adalah untuk menonjolkan fenomena Benak di Sungai Batang Lupar Sri Aman sebagai produk pelancongan yang unik dalam seluruh Malaysia khususnya di Sarawak.

"Malahan kita mahu Fenonema Benak ini dijadikan sebagai ikon untuk Bandar Sri Aman. Kita mahu Bandar Sri Aman dikenali sebagai Bandar Benak di seluruh Malaysia pada masa akan datang," katanya.

Justeru Shamshuddin menasihatkan semua penduduk khususnya peniaga dalam Bandar Sri Aman ini untuk menunjukkan sifat mesra pengunjung disamping menjaga kebersihan kawasan bandar ketika berlangsungnya pesta itu nanti.

Hadir sama pada sidang media berkenaan adalah Timbalan Residen Sri Aman, Desmond Douglas Jerukan dan Felicia Tan, para ketua jabatan kerajaan dan wakil Ahli Dewan Undangan Negeri dari kawasan Sri Aman.

Pejabat Residen Sri Aman dijangka akan mengadakan semula sidang media berhubung penganjuran Pesta Benak Sri Aman 2010 ini pada 21 April kelak.

Tamat.

2 comments: