Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

11 April, 2010

Penulis Blog Kagum Dengan Kemesraan Najib

Oleh Rudy Rukimin Rambli

SRI AMAN, 11 April (Bernama) -- Bila Desmond Jerukan menerima emel menjemput beliau hadir pada jamuan minum petang bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 13 Mac lepas, beliau menganggap itu cuma satu gurauan.

Tetapi bila penulis blog 'Nadai Nama Nama' yang berumur 41 tahun ini menerima emel kedua menjemput beliau ke majlis di Sri Perdana, Putrajaya itu, beliau pasti ia bukan gurauan lagi.

"Sebelum majlis itu, saya begitu gusar dan tidak tahu apa nak buat walaupun penganjur ada memberitahu tentang etika berpakaian. Satu perkara yang saya buat selepas sampai di Kuala Lumpur dari Kuching ialah membeli satu tali leher murah di Parkson, Sungei Wang Plaza," Desmond memberitahu Bernama.

Disebabkan beliau bertugas di Sri Aman, Desmond terpaksa memandu selama dua jam sebelum mengambil penerbangan satu jam 45 minit dari Kuching ke Kuala Lumpur.

Desmond, seorang pegawai tadbir di Pejabat Residen Sri Aman berkata beliau akan mengingati kunjungan itu sehingga ke akhir hayat kerana beliau tidak pernah menyangka akan duduk bersebelahan Perdana Menteri dalam satu majlis minum petang.

ONLINE

Bagi Desmond, majlis itu merupakan pengalaman penuh bermakna kerana masa lain yang memberi peluang beliau melihat Perdana Menteri ialah pada majlis-majlis rasmi di Sarawak.

Bagi dirinya, dapat berjumpa dengan Perdana Menteri merupakan saat yang amat berharga.

"Saya dapati beliau (Najib) begitu ikhlas mahu mengenali rakan online beliau. Contohnya bila pegawainya menelefon beliau, Najib terus menjawab beliau sedang menghadiri majlis penting dan meminta pegawai itu menghubungi beliau kemudian," kata Desmond.

Dan selepas majlis berakhir, Perdana Menteri berulang kali memberitahu pengawal peribadinya agar membiarkan tetamu yang hadir berjumpa dan berbual mesra dengannya.

Kata Desmond, pada satu ketika Perdana Menteri turut memberi komen mengenai lagu nyanyian Black Eyed Peas "I've Got a Feeling" yang dimainkan pada majlis itu sambil berkata lagu berkenaan memang sesuai dengan suasana ketika itu.

Perdana Menteri juga mempunyai cara beliau sendiri beramah mesra dengan hadirin.

Di dalam blog beliau, Desmond menulis: "Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor begitu kasual. Kemesraan beliau membuatkan semua terpegun. Beliau memulakan bicara bersama saya dengan bercakap mengenai kamera yang saya bawa.

"Bentuk kamera anda ini agak serius...

"Dan perbualan kami bermula tentang kamera dan saya berterima kasih kepada kamera saya kerana menjadi penyelamat."

Apa yang terjadi selepas itu mengumpulkan kenangan bagi Desmond dan Perdana Menteri serta rakan-rakan online kerana mereka bertukar-tukar pendapat tentang banyak isu dan Perdana Menteri sanggup mendengar dengan penuh perhatian.

"Satu perkara yang saya tidak bangkitkan ketika itu ialah tentang kelab bola sepak Liverpool kerana saya penyokong kuat pasukan itu sedangkan Perdana Menteri pula menyokong Manchester United," kata Desmond, bergurau.

Desmond yang mempunyai ijazah Sains Gunaan dari Universiti Sains Malaysia serta Sarjana Korporat dalam Pentadbiran Perniagaan (CMBA) dari Universiti Ohio di Amerika Syarikat berkata majlis minum petang itu menandakan era baru bagi pucuk pimpinan negara.

"Setakat ini tiada wakil rakyat yang membuka ruang komunikasi mereka sebegini. Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib telah membuat blog, Facebook, Youtube dan juga laman web yang sentiasa dikemaskini dengan maklumat terkini," kata Desmond.

Justeru Perdana Menteri mengambil inisiatif agar lebih senang didampingi rakyat dengan menggunakan teknologi terkini dan pada masa yang sama sanggup mendengar masalah yang dihadapi rakyat.

CAKAP DAN BUAT

Menurut Desmond pentadbiran Najib membawa konsep 'cakap dan buat' kepada satu tahap yang lebih tinggi di mana Perdana Menteri akan cuba menyelesaikan masalah melalui perantaraan online.

"Contohnya pengalaman saya sendiri, melalui blog 1Malaysia serta Jabatan Perdana Menteri pada Mei 2009 saya ada menceritakan risiko yang dihadapi ibu bapa, guru serta pelajar bila menggunakan jambatan gantung di Nanga Klassen Sri Aman kerana kabelnya dalam kedaan boleh tercabut," kata beliau.

"Beberapa minggu kemudian penduduk di Nanga Klassen ada memberitahu saya yang mereka nampak beberapa kenderaan pacuan empat roda dari Pejabat Pembangunan Negeri Jabatan Perdana Menteri di tempat itu.

"Kami ditunjukkan surat kuasa dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri bagi pembinaan jambatan separa konkrit berharga RM400,000 di Nanga Klassen," kata beliau.

Menurut Desmond jambatan itu merupakan satu-satunya jalan ke Sekolah Rendah Nanga Klassen dan walaupun wakil rakyat cuba mendapatkan bantuan kewangan daripada agensi terbabit, mereka dihalang oleh kerenah birokrasi serta belenggu kewangan.

"Saya sedang memantau kemajuan projek itu dan ini membuktikan laman web Perdana Menteri memudahkan penyaluran dana pembangunan kepada mereka yang memang memerlukannya," kata Desmond.

Kata beliau, Perdana Menteri telah menunjukkan kuasa Internet dalam menerima serta menyampaikan maklumat dengan cepat selain mengambil tindakan bagi kumpulan sasaran dan ini sepatutnya dicontohi pemimpin lain.

Mengenai program tinjauan mesra, berjalan bersama rakyat oleh Najib, Desmond menyeru agar aktiviti itu dijalankan dengan lebih kerap terutama di kawasan luar bandar kerana tidak ramai penduduk yang berpeluang bertemu dan bersalam dengan Perdana Menteri.

Menyentuh majlis minum petang bersama Perdana Menteri itu, Desmond berharap majlis berkenaan bukanlah yang terakhir kerana ia boleh digunakan sebagai saluran alternatif bagi mendengar masalah serta rungutan peringkat akar umbi.

"Apa yang paling menarik pada majlis itu ialah bila Perdana Menteri serta rakan-rakan online beliau sedia bertukar-tukar fikiran demi kepentingan negara," tambah Desmond.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment