Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

09 April, 2010

Ketahui hak pengguna anda - Snowdan


Mugshot: SNOWDAN LAWAN

BALAI RINGIN, Khamis (8 April) - Masih terdapat ramai penduduk yang tidak peka atau tahu mengenai hak masing-masing berhubung isu kepenggunaan berdasarkan kepada kajian yang telah dilakukan dalam negara ini demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan.

Rata-rata penduduk menurut beliau tidak tahu mengenai hak masing-masing sekirangnya berlaku penindasan berhubung hal kepenggunaan ditambahi lagi dengan kelemahan mereka yang juga tidak mengetahui kewujudan saluran tertentu untuk mengemukakan aduan sekiranya hak mereka dinafikan oleh pihak tertentu.

"Tahap kesedaran penduduk di Malaysia mengenai hak mereka sebagai pengguna yang bertanggungjawab masih ada ruang untuk dipertingkatkan lagi dan kerajaan menerusi alasan ini telah pun mengandakan usaha untuk memberi pendidikan mengenai hal ehwal kepenggunaan hingga peringkat akar umbi.

"Ini diusahakan melalui pendekatan 'Smart-Partnership' dengan agensi-agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan dan mana-mana pihak yang mempunyai agenda tentang hal kepenggunaan disamping bekerjasama dalam menganjurkan program atau aktiviti kepenggunaan di semua tahap peringkat," katanya.

Justeru katanya kerajaan telah menyatakan kesediaannya untuk sentiasa bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat bagi menganjurkan program pendidikan mengenai hal ehwal pengguna demi kesejahteraan semua penduduk dalam negara ini khususnya di Balai Ringin pada masa akan datang.

Snowdan berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kepengunaan Komuniti Bestari Balai Ringin anjuran Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Korperasi dan Kepengunaan Sarawak di Balai Ringin, Serian baru-baru ini.

Selain itu katanya gerakan koperasi yang ditubuhkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menghadapi cabaran pada tahun lepas apabila timbulnya isu mengenai kewujudan individu atau kumpulan yang mempergunakan koperasi untuk menipu orang ramai demi kepentingan diri sendiri.

Golongan tersebut menurut Snowdan telah menggunakan koperasi untuk menawarkan pelbagai skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan kepada orang ramai sehingga ramai di antara mereka yang tertipu disebabkan oleh tindakan pihak tersebut.

"Ada juga kumpulan yang mengambil kesempatan dengan menjalankan aktiviti ala skim cepat kaya dan koperasi kredit ala ‘Ah-Long’. Namun demikian, masalah ini telah dapat ditangani segera oleh pihak SKM menerusi tindakan tegas tanpa kompromi.

"Justeru diharap agar para pengguna bertindak melaporkan perkara ini terhadap pihak kerajaan menerusi SKM sekiranya wujudnya golongan yang cuba mempergunakan gerakan koperasi untuk tujuan menipu selepas ini," katanya.

Hadir sama ialah Penolong Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sarawak, Mohd Arfazheel bin Amsir, Penolong Pengarah SKM Daerah Serian), Mohd Noor Firdaus bin Fadzil, para pegawai kerajaan, ketua kaum dan penduduk di sini.


Tamat.

No comments:

Post a Comment