Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

16 April, 2010

Kemajuan kampung bergantung kepada prestasi ketua kaum

SRI AMAN, Jumaat (16 April) - Kemajuan sesebuah kawasan bergantung sepenuhnya kepada hubungan di antara ketua kaum dan pemimpin negeri dalam kawasan penduduk itu sendiri kata Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Ini kerana ketua kaum memainkan peranan penting dalam membantu menyebarkan segala dasar pentadbiran dan pembangunan oleh kerajaan terhadap penduduk di bawah jagaan mereka dari masa ke semasa.

"Pemahaman penduduk terhadap dasar yang diterangkan oleh ketua kaum masing-masing seperti Tuai Rumah, Penghulu atau Pemanca ini akan membolehkan kerajaan melaksanakan projek pembangunan di kawasan mereka dengan penuh lancar tanpa sebarang masalah.

"Justeru saya meminta semua ketua kaum di kawasan Sri Aman untuk bekerjasama dengan pemimpin negeri bagi menerangkan segala dasar pembangunan kerajaan terhadap penduduk di bawah jagaan masing-masing selepas ini," katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Mesra Rakyat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Sri Aman bertempat di Rumah Tuang anak Rengkang, Sungai Labi, Batu Lintang Undop kelmarin.

Selain itu beliau menerusi ucapannya pada majlis itu juga mahu semua ketua kaum terutamanya Tuai Rumah untuk lebih peka terhadap sebarang isu semasa yang berlaku di sekeliling mereka selepas ini.

"Kita mahu ketua kaum yang sentiasa tahu mengenai perkembangan terkini isu semasa terutamanya mengenai topik pembangunan demi kebaikan hidup penghuni kampung atau rumah panjang mereka selepas ini.

"Ini akan lebih memudahkan lagi usaha kerajaan untuk menaiktaraf hidup mereka. Pengetahuan terkini ketua kaum terhadap kebaikan projek pembangunan itu secara tidak langsung akan meningkatkan kemajuan kampung masing-masing di masa akan datang," katanya.

Harden menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar bandar (MRP) bernilai RM3,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Tuang manakala RM2,000 lagi untuk biro wanita rumah panjang berkenaan.

Hadir sama ialah Pegawai Penerangan JASA Parlimen Sri Aman, Whelthon Lumpoi, Penyelia Kanan Parlimen 202 Sri Aman, Susannah Abdul Raup, Pemanca Samuel Lawen, Penghulu Jacob Chendan, Pengerusi ADC Ulu Undop dan Tuai Rumah Jegai Jawa.

Tamat....

No comments:

Post a Comment