Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

27 April, 2010

Jangan mudah melenting dengan kerajaan - Nyalau


Caption: SELAMAT DATANG BOSS...Nyalau (tengah) ketika disambut ketibaannya oleh penduduk Rumah Nyambong baru-baru ini.

LUBOK ANTU, Selasa (27 April) - Rakyat tidak seharusnya membenci kerajaan Barisan Nasional (BN) gara-gara disebabkan oleh kelewatan perlaksanaan projek pembangunan di kawasan penempatan masing-masing selama ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak berkata kelewatan terbabit mungkin disebabkan oleh tindakan kerajaan yang mahu melaksanakan projek pembangunan itu secara teliti dan rapi agar ia boleh memberi impak secara menyeluruh terhadap penduduk itu sendiri selepas ini.

"Perlaksanaan projek pembangunan di sesuatu kawasan dilaksana secara bersistematik dan berperingkat-peringkat kerana kerajaan mahu memberikan impak peningkatan taraf hidup yang terbaik untuk semua penduduk di sesuatu kawasan dari masa ke semasa.

"Jika projek pembangunan itu hanya memberi manfaat kepada sebilangan kecil penduduk maka ia dianggap sebagai usaha yang gagal. Pokoknya di sini ialah penduduk harus bersabar untuk menantikan perlaksanaan projek itu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program 1 Malaysia Bersama Pemimpin di Rumah Nyambong, Serembai, Lemanak anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak Bahagian Batang Ai di Lubok Antu baru-baru ini.

Selain itu Nyalau juga menasihatkan penduduk di sesebuah kawasan agar tidak mudah merajuk terhadap kerajaan dengan bertindak menyokong parti pembangkang menjelang pilihan raya negeri akan datang.

"Tindakan ini tidak akan memberi faedah kepada penduduk. Meluahkan kemarahan terhadap kerajaan dengan menyokong pihak pembangkang pada pilihan raya sebenarnya adalah tindakan yang tidak betul terhadap peluang diri masing-masing sebagai pengundi.

"Bukankan lebih wajar sekiranya penduduk meluahkan masalah terhadap wakil rakyat di kawasan masing-masing? Tindakan ini bijak kerana kerajaan akan mudah tahu masalah mereka dan seterusnya menyalurkan projek pembangunan di kawasan masing-masing selepas ini," katanya.

Nyalau menerusi majlis berkenaan telah memperuntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Serembai dan RM5,000 lagi untuk biro wanita rumah panjang berkenaan.

Hadir sama ialah Pegawai Penerangan Parlimen JASA P.203 Lubok Antu, Geoffery Baja anak Ricky Maba, Pembantu Luar Kanan JASA N.28 Engkilili, Edwin Ancheh, Pembantu Luar JASA N.29 Batang Ai, para kakitangan kerajaan dan ketua kaum ketua kaum di sini.

Tamat…

No comments:

Post a Comment