Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

09 April, 2010

Hari Potensi Kanak-Kanak di Betong meriah


Caption: KAMI JUARA...Kumpulan Zon Betong bergambar kenangan bersama guru pengiring mereka sebaik sahaja tamat Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Peringkat Parlimen P.204 Betong kelmarin.
by Saleman Senin

SPAOH, Jumaat (9 April) – Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Peringkat Parlimen P.204 Betong telah berlangsung dengan meriah menerusi penganjuran beberapa buah pertandingan di sini kelmarin.

Antara pertandingan yang diadakan bersempena dengan majlis berkenaan adalah Pertandingan Bercerita Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, Pidato, Tilawah Al-Quran, Rekacipta, Teater, Boneka Tangan, Nasyid dan Tarian Tradisional.

Pertandingan yang membabitkan penyertaan kumpulan Tabika Kemas dari tiga buah zon dalam kawasan Parlimen P.204 Betong ini menyaksikan Zon Betong berjaya memenangi Pertandingan Pidato, Tilawah Al-Quran (Qari dan Qariah), Rekacipta dan Tarian Tradisional pada Hari Potensi Kanak-Kanak berkenaan.

Kumpulan Tarian Tabika Kemas Kampung Tengah Betong muncul juara Pertandingan Tarian Tradisional terbabit manakala Muhd Najmi Fitri bin Norizam dan Nur Wani Iwanie binti Amran juga dari Tabika Kemas Kampung Tengah Betong muncul pemenang untuk Pertandingan Tilawah Al-Quran bagi kategori Qari serta Qariah.

Zon Spaoh menerusi Hari Potensi Kanak-Kanak berkenaan telah memenangi acara Bercerita Bahasa Inggeris, Boneka Tangan dan Nasyid manakala Zon Debak memenangi acara Bercerita Bahasa Malaysia dan Teater.

Majlis penangguhan majlis dan upacara penyampaian hadiah terhadap pemenang telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat

Hadir sama untuk menyaksikan majlis penangguhan berkenaan ialah Pengarah Kemas Negeri, Abang Rabaie bin Abang Muhi dan Pegawai Kemas Daerah Betong, Freda Soontik.

Terdahulu penglibatan beberapa buah Tabika Kemas dari sekitar Zon Betong, Spaoh dan Debak ini dilihat lebih menceriakan suasana 1Malaysia yang digambarkan menerusi penglibatan semua kaum pada pertandingan itu.

Kesemua pertandingan yang diadakan bersempena dengan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Peringkat Parlimen P.204 Betong ini bertujuan untuk mengasah bakat anak-anak dan mencari wakil peserta untuk Parlimen P.204 Betong ke pertandingan peringkat Zon di Kabong nanti.

Tamat.

No comments:

Post a Comment