Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 April, 2020

Pesara guru maut, senjata makan tuan.



SRI AMAN: Seorang pesara guru maut disyaki tertembak senapang patah sendiri ketika pergi memburu di dalam hutan berdekatan kawasan Rumah Panjang Empadi, Batu Lintang di sini Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Bingkok John berkata kejadian tersebut disedari oleh penduduk kampung setelah mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah panjang pada Isnin semenjak dia keluar memburu di hutan berkenaan.

"Sekitar jam 4 petang pada Ahad lepas, mangsa iaitu Uke Manggi, 62, telah memberitahu isterinya, Lina Siban bahawa dia mahu pergi memeriksa jerat di kawasan hutan berhampiran secara seorang diri.

"Bagaimanapun apabila mangsa langsung tidak pulang ke rumah panjang menjelang jam 8 pagi pada keesokan harinya (Isnin), si isteri segera memohon bantuan daripada penduduk kampung untuk mencari suaminya itu di sekitar hutan berkenaan," kata beliau.

Seramai 20 orang penduduk kampung kata Bingkok telah melakukan operasi mencari mangsa di dalam hutan tersebut sebelum mayat pesara guru berkenaan ditemui oleh mereka sekitar jam 3 petang.

Sebaik sahaja penemuan mayat mangsa dilakukan, penduduk kampung katanya segera melaporkan perkara ini dengan menghubungi pihak Balai Polis Batu Lintang, Undop pada jam 3.50 petang.

"Pihak polis ketika tiba di lokasi kejadian berkenaan mendapati bahawa mayat mangsa telah berada dalam keadaan terlentang bersama dengan selaras senapang patah yang masih tertindih pada bahagian belakang badannya.

"Pemeriksaan lanjut bersama kakitangan perubatan di situ juga mendapati mangsa telah mengalami kecederaan luka hancur dan patah di seluruh tangan kanan dengan tempoh kematiannya dianggarkan kurang daripada 24 jam," kata Bingkok.

Pihak polis kata beliau percaya bahawa mangsa telah terjatuh ketika menyandang senapang patah berkenaan hingga menyebabkan senjata api berisi peluru Buckshot 12 Butir itu terhentak lalu meletup.

"Pihak perubatan percaya mangsa telah kehilangan banyak darah disebabkan oleh kecederaan akibat tembakan senapang patah berkenaan sehingga dia maut di tempat kejadian," kata beliau lagi.

Siasatan lanjut pihak polis kata Bingkok juga telah menemui satu beg galas dipercayai milik mangsa yang tergantung di bahagian tengah pokok setinggi tiga meter berhampiran lokasi kejadian itu.

"Pihak kami telah pun menemui lima biji peluru jenis Buckshot yang masih belum diguna dalam beg galas berkenaan dengan tiada sebarang kesan tembakan dijumpai di bahagian pokok berkenaan," kata beliau lagi.

Pihak polis kata beliau lagi tidak menjumpai senjata dan peralatan lain di lokasi kejadian tersebut dengan mayat mangsa terus dihantar ke rumah mayat Hospital Bahagian Sri Aman bagi tujuan tindakan lanjut.

"Kejadian ini diklafisikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR)," kata beliau sambil menambah lokasi kejadian terletak kira-kira 10 kilometer atau 45 minit waktu berjalan kaki dari jalan raya berhampiran.

Tamat

Dua NGO Simanggang bantu sumbang makanan ketika PKP



SIMANGGANG: Tekanan akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kian meningkat dalam kalangan penduduk apabila arahan itu telah dilanjutkan oleh kerajaan sehingga 12 Mei ini.

Ini kerana lanjutan arahan penguatkuasaan PKP telah menimbulkan masalah dalam kalangan penduduk lebih-lebih lagi buat mereka yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan keperluan makanan pada waktu sukar ini.

Atas sebab itu, dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam bandar ini telah pun mengambil inisiatif bersama untuk melancarkan Program Pengedaran Bahan Keperluan Semasa PKP untuk golongan memerlukan yang bermula semenjak Isnin lepas.

"Menerusi program ini, pihak kami iaitu Pertubuhan Meninggikan Akhlak atau Chee Chuan Khor Simanggang dan Kesatuan Soon Heng Simanggang telah pun memulakan agihan bantuan makanan kepada 700 Ketua Isi Rumah (KIR) di sini.

"Para sukarelawan telah pun mengagih bantuan ke rumah penerima dengan kesemua KIR tersebut sudah pun melakukan pendaftaran terhadap kami sebelum bermula program berkenaan,"kata Presiden Chee Chuan Khor Simanggang, Temenggung Kueh Aik Seng.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sebaik sahaja tamat melancarkan  Program Pengedaran Bahan Keperluan Semasa PKP tersebut bertempat di bangunan Pertubuhan Chee Chuan Khor Simanggang dalam bandar ini semalam.

Selain itu Kueh turut menasihatkan penduduk dalam bandar ini agar sentiasa tabah mengharungi penguatkuasaan PKP dan memanfaat sebaik mungkin bantuan yang diterima oleh mereka daripada agensi kerajaan.

"Kepatuhan kita terhadap PKP adalah amat penting. Walaupun penguatkuasaan PKP ini dilanjutkan tempohnya sehingga 12 Mei namun ia amat penting dalam menyekat penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan penduduk.

"Kesukaran disebabkan oleh arahan ini sememangnya difahami oleh ramai pihak. Namun ia adalah lebih baik daripada membiarkan virus ini terus merebak sehingga meragut nyawa ahli keluarga dan sahabat handai tersayang kita kelak," kata beliau.

Hadir sama ialah Penasihat Chee Chuan Khor Simanggang dan Kesatuan Soon Heng Simanggang, Kho Min Hua, Setiausaha Kesatuan Soon Heng Simanggang, Goh Kaw Sze, Timbalan Ketua Wanitanya, Tay Chung Gek dan beberapa ahli jawatankuasa tertinggi dari kedua-dua pertubuhan itu.

Menerusi program berkenaan, kedua-dua pertubuhan tersebut bertindak mengagih bantuan makanan berupa beras 10 kilogram, mee segera, produk minuman berjenama VICO, gula dan biskut kepada penerima.
Tamat

Kebun lubuk rezeki ketika PKP



PANTU: Penduduk kawasan luar bandar akan tetap tenang mengharungi tempoh penguatkuasaan Perintah Arahan Pergerakan (PKP) selagi kebun kekal menjadi lubuk rezeki mereka dari masa ke semasa.

Ini kerana dengan turun ke kebun berdekatan kawasan rumah, penduduk luar bandar akan terus kekal meraih rezeki dengan menjual hasil masing-masing dari rumah ke rumah ke perkampungan berhampiran.

"Syukurlah tanaman Terung Dayak (Terung Asam) yang saya usahakan di kebun selama ini sudah pun mula membuahkan banyak hasil ketika berlangsungnya penguatkuasaan arahan PKP pada masa sekarang.

"Buktinya saya telah pun menuai lebih 300 kilogram Terung Asam di kebun dan diborong oleh peniaga tempatan di sini dengan hasil pendapatan mencecah RM900,"kata Mary Anis, 64, dari Rumah Panjang Selantik Ili, Pantu.

Hasil jualan berkenaan katanya diguna untuk menampung keperluan isi rumah dengan perlaksanaan PKP diakui olehnya sedikit sebanyak menggugat pendapatan petani di kawasan luar bandar pada masa sekarang.

"Tidak ramai penduduk mahu bersesak ke pekan atau bandar demi membeli sayur-sayuran pada masa sekarang kerana khuatir dijangkiti oleh virus pembunuh senyap iaitu COVID-19.

"Atas sebab itulah saya mencadangkan pekebun luar bandar agar menjual hasil masing-masing secara bergerak ke kampung berdekatan daripada berhimpun di satu tempat tertentu dan terdedah kepada jangkitan pandemik berbahaya ini," kata wanita itu.

Mary juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sarawak kerana menyalurkan bantuan kewangan kepada penduduk pada waktu sukar ini demi mengurangkan kesukaran hidup mereka dalam mengharungi PKP.

"Kebun juga tidak mengeluarkan hasilnya pada setiap hari. Justeru pemberian Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Sarawak Ku Sayang adalah tepat pada masanya demi membantu kami yang terjejas disebabkan oleh arahan PKP ini,"kata Mary.

Bagaimanapun wanita itu mengakui dia bersama keluarga kekal mematuhi langkah penjarakan sosial serta pemakaian penutup muka dan hidung ketika menghantar hasil jualan kebun ini ke kampung berdekatan.

Tamat

24 April, 2020

Mayat mangsa serangan buaya ditemui di Sungai Beradik


SRI AMAN: Mayat mangsa serangan buaya di sini Rabu lepas telah ditemui terapung sekitar 7.30 pagi tadi di kawasan Sungai Beradik iaitu 2.68 kilometer dari jeti Kampung Tanjung Bijat ketika berlangsungnya operasi SAR hari ketiga di Sungai Batang Lupar. 



Mayat mangsa iaitu Yanha Mahrat, 29, dijumpai oleh pasukan SAR dan dihantar ke jeti Kampung Melayu Tanjung Bijat sebelum dibawa oleh pihak polis ke bilik mayat Hospital Sri Aman untuk pemeriksaan lanjut. 

Sumber memberitahu beberapa anggota mayat mangsa didapati hilang disebabkan oleh kejadian berkenaan antaranya ialah tangan kiri dan tangan kanan dengan bahagian kaki kirinya hanya tinggal separuh.

Mayat mangsa dihantar ke Kampung Tengah Lingga bagi tujuan pengebumian tengah hari tadi setelah proses bedah siasat selesai dilakukan oleh pihak perubatan di rumah mayat Hospital Sri Aman.

Terdahulu Yanha bersama tiga saudaranya pada Rabu lepas sedang memasang pukat ikan di Sungai Batang Lupar berdekatan Kampung Tanjung Bijat di sini sebelum dia dibaham oleh sang bedal sekitar jam 2 petang.

Mangsa dilaporkan menjerit meminta tolong dalam keadaan timbul dan tenggelam sebanyak tiga kali sebelum ia hilang ditarik oleh sang bedal ke dalam dasar Sungai Batang Lupar terbabit.

Kejadian terbabit segera dilapor kepada pihak Balai Polis Sri Aman yang seterusnya bertindak mengadakan operasi SAR terhadap mangsa di kawasan sungai berkenaan pada jam 3.27 petang.


22 April, 2020

Lelaki dikhuatiri dibaham buaya ketika memukat ikan di Sungai Batang Lupar, Sri Aman

SRI AMAN: Niat untuk memukat ikan di sungai tidak kesampaian buat seorang lelaki apabila dia dikhuatiri menjadi mangsa baham sang bedal di Sungai Batang Lupar berdekatan Kampung Tanjung Bijat di sini petang tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Yanha Mahrat, 29, dari Kampung Tengah, Lingga telah pergi memukat  ikan di sungai berkenaan bersama dengan tiga orang saudaranya sebelum dia dipercayai menjadi mangsa serangan haiwan buas berkenaan sekitar jam 2 petang.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Bingkok John ketika dihubungi memberitahu Yanha sedang menarik pukat di bahagian tengah sungai secara seorang diri dengan kedalaman air ketika itu hanya mencecah paras bahagian dada.

Ketika sedang menarik pukat tersebut, mangsa katanya tiba-tiba menjerit meminta pertolongan daripada tiga saudaranya yang berada tidak jauh dari situ dipercayai pada saat berlakunya serangan haiwan buas berkenaan. 

Menurut saksi mata saudaranya kata beliau, mangsa telah tenggelam dan timbul sebanyak tiga kali di permukaan air berkenaan sebelum lelaki malang itu tenggelam sepenuhnya dipercayai akibat ditarik oleh buaya ke dalam dasar sungai berkenaan.

Kejadian berkenaan menurut beliau segera dilaporkan di Balai Polis Sri Aman oleh pengadu iaitu Mohamad Nor Suhaili pada jam 3.07 petang dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terhadap mangsa segera dilancar di sekitar sungai berkenaan setengah jam kemudian.

"Operasi SAR terbabit telah pun melibatkan seramai 63 orang anggota yang terdiri daripada Pasukan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung," katanya lagi.

Bingkok turut memberitahu bahawa air sedang surut di Sungai Batang Lupar ketika berlakunya kejadian berkenaan dengan jarak Kampung Melayu Tanjung Bijat hingga ke lokasi pemasangan pukat terbabit adalah sejauh 200 meter.


21 April, 2020

6 individu dituduh di Mahkamah Majistret Sri Aman sebab langgar PKP

DSP Bingkok John, KPD Sri Aman

SIMANGGANG: Seramai enam individu telah dituduh di Mahkamah Majisret Sri Aman semalam kerana didapati ingkar terhadap penguatkuasaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Bingkok John berkata kesemua mereka dituduh di bawah Peraturan 3(1) dan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(No.2) 2020.

Lima daripada enam tertuduh berkenaan katanya telah mengaku bersalah pada perbicaraan tersebut dan telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM700 seorang oleh mahkamah.

Manakala itu seorang lagi tertuduh kata Bingkok telah dijatuhkan hukuman penjara selama dua minggu oleh pihak mahkamah dari tarikh mula perbicaraan setelah gagal membayar denda sebanyak RM800 berikutan kesalahan berkenaan.

"Saya menasihatkan orang ramai di Sri Aman agar serius mematuhi PKP kerana pihak kami tidak akan teragak-agak untuk menahan dan mendakwa mereka di mahkamah jika didapati masih ingkar terhadap arahan berkenaan.

"Begitu juga dengan ibu bapa di sini. Saya memohon kepada mereka agar bertindak melarang pergerakan anak-anak ke luar rumah tanpa alasan munasabah kerana PKP masih dikuatkuasa pada masa sekarang," katanya.

Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman katanya juga akan terus melaksana rondaan dan pemantauan perintah PKP di kawasan ini demi memastikan penduduk terus mematuhi arahan berkenaan dari masa ke semasa.

Terdahulu kesemua enam tertuduh berkenaan dihadap ke Mahkamah Majistret Sri Aman setelah didapati ingkar arahan PKP menerusi satu operasi yang dilaksana oleh IPD Sri Aman dalam sekitar bandar dan kampung di sini pada 17 April lepas.
Tamat

91 KIR KRT Penempatan Sri Jaya terima bantuan makanan



SIMANGGANG: Pengagihan Bantuan Makanan Sarawakku Sayang masih diteruskan terhadap penduduk yang terjejas akibat arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang.

Ia terbukti apabila sejumlah 91 Ketua Isi Rumah (KIR) dari kawasan zon Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Penempatan Sri Jaya dalam bandar ini telah menerima bantuan bekalan makanan berkenaan di situ semalam.

Bantuan bekalan makanan tersebut telah disalur oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat ADUN Simanggang kepada pihak KRT Penempatan Sri Jaya dan seterusnya diagih kepada semua KIR berkenaan.

"Kami amat berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis kerana masih prihatin terhadap nasib penduduk KRT Penempatan Sri Jaya yang terjejas akibat penguatkuasaan PKP.

"Dengan adanya bantuan seperti ini maka penduduk KRT Penempatan Sri Jaya akan dapat menjimatkan belanja untuk membeli makanan ketika mengharungi penularan pandemik COVID-19 pada masa sekarang," kata pengerusinya Rinie Dika.

Beliau ketika ditemui pada majlis ringkas pengagihan bantuan itu juga menasihat penduduk KRT Penempatan Sri Jaya agar terus mematuhi penguatkuasaan PKP demi membantu kerajaan mengekang penularan pandemik tersebut.

"Saya juga meminta penduduk KRT Penempatan Sri Jaya agar tidak keluar rumah tanpa sebarang urusan penting kerana ia mungkin boleh meningkatkan risiko jangkitan pandemik COVID-19 dalam kalangan diri mereka kelak.

"Justeru patuhilah PKP. Tindakan kita nanti mungkin boleh mempengaruhi keputusan kerajaan dalam melanjutkan PKP selepas peringkat fasa ketiga ini berakhir pada 28 April kelak,"katanya.