Caption: SELAMAT DATANG...Nyalau (depan) ketika disambut oleh penduduk dan kakitangan sekolah sebaik sahaja tiba untuk merasmikan majlis berkenaan.
LUBOK ANTU, Rabu (1 Sept) – Guru dibenarkan berpolitik selagi mereka tidak bertindak menghasut rakyat untuk menolak Barisan Nasional (BN) di kawasan mengajar masing-masing selepas ini.
Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak berkata para guru terutama sekali yang mengajar di kawasan hulu sungai seharusnya mengajak rakyat menyokong BN dan bukannya membantu pihak pembangkang menegakkan pengaruh politik mereka di situ.
“Dibenarkan berpolitik tidak semestinya ia gelanggang untuk mereka menentang BN. Para guru harus ingat bahawa mereka menjadi guru setelah dipilih oleh kerajaan untuk berkhidmat mendidik rakyat.
“Jika guru mengenang jasa kerajaan BN maka bantulah menyebarkan dasar pentadbiran kita dengan baik. Mereka harus ingat bahawa sumber rezeki mereka sebenarnya datang dari BN dan bukan pembangkang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Merarau Bersama Yang Berhormat anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Dewan Serbaguna Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tibu, Lubok Antu baru-baru ini.
Bagaimanapun Nyalau melahirkan rasa gembiranya memandangkan belum terdapat sebarang laporan yang mengaitkan pembabitan para guru dalam isu berkenaan sebelum ini.
Selain itu rakyat katanya juga perlu bertindak bijak dalam memilih pemimpin mereka selepas ini kerana bertindak memilih BN akan menjamin masa depan hidup yang lebih cerah untuk mereka di masa akan datang.
“Kita di Lubok Antu bernasib baik BN menang di sini sehingga Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat mempunyai keyakian untuk menyalur banyak peruntukan bagi tujuan pembangunan di snii,” katanya.
Nyalau menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan RM20,000 bagi menaiktaraf dewan sekolah berkenaan. Hadir sama ialah Pegawai Penerangan Parlimen JASA P.203 Lubok Antu, Geoffery Baja anak Ricky Maba, Guru Besar SK Nanga Tibu, Jack Kabu Busal dan ketua kaum di sini.
Tamat...
No comments:
Post a Comment