Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 September, 2010

99 penduduk terima sumbangan raya dari LAMB


Caption: MANFAATKAN..Azimin ketika menyampaikan sumbangan raya kepada salah seorang penerima pada majlis berkenaan.

Saleman Senin

BETONG, Selasa (7 Sept) - Lembaga Amanah Melayu Betong (LAMB) telah mengadakan majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada beberapa 99 orang penduduk dari kawasan Betong baru-baru ini.

Majlis yang berlangsung di Dewan Al Husna Masjid Jamek Betong itu menyaksikan penerima terdiri daripada golongan Warga Emas, Ibu Tunggal, Anak Yatim dan Orang Kurang Upaya (OKU) dari Kampung Masjid, Kampung Tengah, Kampung Hilir, Kampung Baru Hulu, Kampung Baru Hilir dan Kampung Melayu Passa Betong.

Selain sumbangan untuk golongan terbabit, penerima yang terdiri daripada golongan penggali kubur dan orang yang memandikan jenazah juga turut menerima sumbangan daripada LAMB.

Penghulu Haji Abang Zawawie Abang Rajit menerusi ucapannya pada majlis itu memberitahu sumbangan berkenaan bertujuan untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh golongan terbabit menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri ini nanti.

“Pihak kita juga telah menyampaikan bantuan yang serupa pada tahun lepas. Harapan kita ialah agar sumbangan ini digunakan dengan sebaik mungkin oleh golongan berkenaan menjelang perayaan Hari Raya ini nanti,” katanya.

Pihak LAMB kata beliau juga akan memberikan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan yang bakal mengenalpasti selepas ini tanpa mengira musim perayaan utama.

Justeru Zawawie memohon kerjasama daripada semua pihak untuk memaklumkan kepada pihak LAMB sekiranya terdapat golongan kurang berkemampuan yang tercicir daripada menerima bantuan terbabit selepas ini.

Terdahulu beliau pada majlis berkenaan telah menyampaikan cek hasil sumbangan wakil rakyat kepada surau dan masjid di kawasan Betong bagi tujuan perlaksanaan aktiviti sambutan aidilfitri bagi peringkat kampung sempena kunjungan rombongan mereka pada 12 september ini nanti.

Setiap surau menerusi majlis itu telah menerima cek berjumlah RM1,500 termasuk kampung Masjid Betong manakala masjid pula telah menerima cek bernilai RM 2,500.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pegawai Jabatan Agama Islam Bahagian Betong, Ustaz Azimin bin Shakir. Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Amanah Melayu Betong, KK Haji Abang Husin bin Haji Abang Mahdi, para ketua kaum dan ahli jawatankuasa pengurusan Masjid Betong.

Tamat.

No comments:

Post a Comment