Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

05 March, 2010

Ketua kaum jangan kecewakan kerajaan dan rakyat - Harden


Caption: UNTUK ALBUM...Harden (duduk tengah) ketika merakamkan gambar kenangan bersama penerima sijil lantikan ketua kaum di sini hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (5 Mac) – Ketua masyarakat diingatkan agar tidak mengecewakan segala amanat tugas yang diberikan kepada mereka oleh kerajaan dan ahli masyarakat terutama sekali ketika melaksanakan tugas di kawasan masing-masing dalam negeri ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis berkata golongan ketua masyarakat termasuk Tuai Rumah, Penghulu, Pemanca dan Temenggong harus melaksanakan peranan masing-masing dengan penuh komitmen demi kepentingan kerajaan dan masyarakat dari masa ke semasa.

“Kerajaan sebelum ini telah melantik dan memberikan elaun kepada para ketua masyarakat supaya mereka boleh melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap kita dan masyarakat dengan penuh perhatian tanpa sebarang masalah.

“Gunakan elaun yang kerajaan berikan selama ini sebaik mungkin. Laksanakan segala amanat yang kerajaan berikan kepada anda (ketua masyarakat) dengan mengenepikan kepentingan diri masing-masing di masa akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sijil Perlantikkan Baru kepada Ketua-Ketua Masyarakat Cina bagi sesi Tahun 2010 hingga 2013 bertempat di Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang hari ini.

Kata Harden ketua masyarakat perlu sentiasa peka dengan keadaan isu semasa disamping membantu dalam menyebarkan pelbagai agenda dan polisi pembangunan yang dibawa oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada masyarakat sepanjang masa.

“Selain itu ketua masyarakat juga bertanggungjawab untuk menyampaikan suara dan masalah yang dihadapi oleh anak buah masing-masing selama ini kepada kerajaan bagi tujuan tindakan lanjut.

“Jika mereka berjaya melaksanakan tugas ini dengan baik maka saya yakin bahawa kadar taraf hidup masyarakat terutama dikawasan luar bandar akan mampu diperkembangkan ke satu peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pemanca Sii Toh Peng, Penghulu Lee Siang Hua dan Kaunselor Sawing Sumar. Seramai tujuh orang ketua masyarakat Cina menerima sijil perlantikkan tersebut iaitu Kapitan Tan Choon Poh, Kapitan Sim Howe Piang, Kapitan Tay Siaw Chuan, Kapitan Ngu Suh Kwong, Kapitan Chai Tze Hiong, Kapitan Kuek Aik Seng dan Kapitan Kee Kuan Seng.

Tamat.


No comments:

Post a Comment