Caption: ERAT HUBUNGAN...Ahli DBNA Sri Aman bergambar kenangan ketika tamat kempen gotong-royong membersihkan Gereja Katolik Sri Aman.
SRI AMAN, Jumaat (19 Mac) – Persatuan Dayak Bidayuh Nasional (DBNA) Sri Aman telah mengadakan Kempen Gotong Royong membersih dan mengindahkan kawasan Gereja Katolik Sri Aman di sini baru-baru ini.
Pengerusi Persatuan DBNA Sri Aman, ACP (Bersara) Jeffry Peron ketika ditemui berkata Kempen Gotong Royong membersih dan mengindahkan kawasan Gereja Katolik Sri Aman telah dijayakan menerusi penglibatan 45 orang ahli persatuan berkenaan.
“Menerusi kempen seumpama ini pihak DBNA Sri Aman secara tidak langsung dapat mendidik para ahli untuk sentiasa turun padang bagi melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dalam sekitar bandar ini.
“Kita mahu ia dijadikan sebagai satu budaya dalam hidup diri masing-masing. Justeru diharap agar kempen ini mampu menyedarkan semua ahli akan betapa pentingnya aktiviti kemasyarakatan dalam mempertingkat nilai norma hidup mereka selepas ini,” katanya.
Selain itu Jeffry juga yakin bahawa kempen gotong-royong seumpama ini akan dapat memperkukuhkan hubungan tali silaturahim dikalangan para ahli persatuan untuk sepanjang masa.
Beliau juga mahu agar kekuatan DBNA Sri Aman dapat dipertingkatkan dengan adanya semangat kerjasama dan perpaduan yang dibentuk menerusi aktiviti kemasyarakatan seumpama itu.
“Kempen ini dapat mewujudkan satu impak positif dalam sifat diri setiap ahli. Sambutan memberangsangkan yang ditunjuk oleh setiap ahli menerusi kempen ini menunjukkan sifat positif masing-masing bagi tujuan ini.
“Maka itu pihak DBNA Sri Aman merancang untuk mengadakan lagi aktiviti kemasyarakatan di masa akan datang demi menyumbang tenaga terhadap lain-lain golongan masyarakat selepas ini,” menurut beliau.
Tamat.
No comments:
Post a Comment