Caption:
1. IKHLAS...Razi (kanan) menyampaikan sumbangan bahan bacaan kepada Guru Besar SK
Datuk Bandar Debak iaitu Rapaiee Bulat (kiri) ketika berlangsungnya majlis terbabit.
2. UNTUK ALBUM... Razi (duduk dua kanan) bergambar kenangan Guru Besar SK Datuk
Bandar Debak iaitu Rapaiee Bulat (duduk dua kiri)bersama barisan exco sebaik sahaja selesai mesyuarat itu.
DEBAK, Jumaat (19 Mac) – Golongan ibubapa dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Bandar diseru supaya menggandakan kerjasama di antara satu sama lain dalam usaha meningkatkan prestasi akademik murid-murid sekolah terbabit selepas ini.
Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SK Datuk Bandar, Mohammad Razi Sitam berkata kerjasama yang erat di antara kedua-dua pihak mampu menjayakan lagi usaha pendidikan formal di sekolah dan juga usaha pendidikan tidak formal di rumah.
“Pendidikan formal di sekolah dan tidak formal di rumah adalah merupakan satu inti gabungan yang amat penting ke arah mempertingkatkan lagi prestasi akademik anak masing-masing di masa akan datang.
“Justeru saya mahu ibubapa dan guru saling memahami peranan masing-masing selepas ini memandangkan kemajuan akademik anak-anak bergantung sepenuhnya kepada komitmen kedua-dua pihak berkenaan,” katanya ketika berlangsungnya mesyuarat PIBG SK Datuk Bandar Debak baru-baru ini.
Selain itu murid sekolah juga perlu dipantau apabila berada di rumah dengan ibubapa berperanan sebagai pendidik utama yang sentiasa mengambil berat perkembangan pelajaran mereka ketika berada rumah.
Dengan adanya ikatan kekeluargaan dan kerjasama yang erat antara institusi pendidikan formal (sekolah) dan komitmen ibu bapa di rumah, beliau yakin usaha untuk membuahkan keputusan cemerlang di sekolah terutama sekali bagi peperiksaan UPSR akan menjadi kenyataan di masa akan datang.
“Untuk itu ibu bapa perlu memahami peranan mereka di rumah manakala warga pendidikan di sekolah harus memberi komitmen yang sewajarnya dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran murid-murid di sekolah,” katanya.
Dalam mesyuarat tersebut PIBG dengan kerjasama dengan pihak sekolah merancang untuk mengadakan Majlis Permuafakatan Ibu Bapa Guru (23 Mac), Program Score-A dengan kerjasama Bank Rakyat Sarikei (17 April), Hari PIBG (21-22 Mei), Program Apo Tantik Agik (PATA), Program Intensif Akademik Sekolah (PINTAS), Khatam Al-Quran dan Berkhatan beramai-ramai (November).
PATA dan PINTAS yang berkonsepkan kelas tambahan serta pemulihan akan dilaksanakan mulai bulan April ini secara intensif dan pada cuti persekolahan bulan Jun sebagai satu strategi persediaan untuk menghadapi peperiksaan UPSR pada bulan September tahun 2010.
Razi turut menyampaikan bahan bacaan Bahasa Inggeris hasil sumbangan Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.30 Saribas untuk menambah sumber bacaan perpustakaan sekolah berkenaan.
Tamat.
No comments:
Post a Comment