Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 September, 2010

Kerja sukat tanah NCR di Bukong, Engkilili bermula


Caption: BERMULA...Majuan (hadapan kanan) bersama penduduk kawasan Bukong, Engkilili ketika bermula proses penyukatan Tanah NCR masing-masing hari ini.

ENGKILILI, Isnin (20 Sept) - Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Sri Aman telah memulakan kerja menyukat Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Kampung Bukong, Engkilili iaitu kawasan pertama di Sri Aman yang disukat di bawah Inisiatif Baru NCR hari ini.

Kerja penyukatan di lapangan yang dijangka siap dalam tempoh 21 hari mulai hari ini telah melibatkan keluasan tanah sebanyak 454 hektar milik 350 orang penduduk rumah panjang dari kawasan itu.

Penguasa JTS Bahagian Sri Aman, Majuan Jeraie menerusi taklimatnya kerja penyukatan di lapangan yang berlangsung hari ini telah melibatkan 50 orang penduduk rumah panjang Bukong, Skandis dan Danau, Engkilili untuk menentukan sempadan tanah NCR masing-masing.

“Dalam memastikan inisiatif baru NCR ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, saya menyeru kepada semua pemilik tanah untuk memberikan sepenuh kerjasama terhadap JTS Bahagian Sri Aman apabila kerja menyukat tanah mereka dimulakan.

“Kerjasama ini termasuk membantu juru ukur JTS untuk mengenalpasti sempadan tanah NCR milik masing-masing kerana ia akan membolehkan kerja menyukat tanah mereka disiapkan dengan segera selepas ini,” menurut beliau.

Selain itu katanya, tanah NCR yang akan disukat ini nanti akan diwarta sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan akan disimpan di JTS dan Pejabat Daerah Sri Aman.

Satu salinan warta ini kata Majuan akan diberi kepada ketua kaum tempatan sebagai bukti bahawa Tanah NCR di kawasan Kampung Bukong telah disukat dan menjadi hak milik sah komuniti di situ.

“Hak ke atas tanah NCR yang diwarta akan ditadbir oleh undang-undang mengikut adat kaum masing-masing. Dengan kata lain, perkara yang berkaitan dengan perolehan, pindah milik, transmisi hak dan keistimewaan ke atas tanah, bangunan atau struktur di dalamnya adalah tertakluk kepada undang-undang adat kaum berkenaan.

“Selain itu pemilik tanah akan mengetahui sekiranya wujud pencerobohan ke atas tanah mereka kerana sempadan tanah akan jelas diketahui selepas kerja penyukatan tanah terbabit selesai,” katanya.

Majuan juga menambah bahawa kerja penyukatan tanah NCR ini akan diteruskan sehingga ke penghujung Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK 10) iaitu hingga akhir tahun 2015 ini.

“Matlamatnya adalah untuk memastikan semua tanah NCR dalam negeri Sarawak disukat dan para pemilik menerima surat hakmilik sebagai jaminan bahawa tanah NCR adalah milik mereka di negeri ini,” menurut beliau.

Terdahulu Tr Pawi anak Lamoh dari Kampung Danau, Engkilili telah melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional dan JTS kerana merealisasikan impian penduduk berhubung isu menyukat tanah NCR yang seterusnya menjamin khazanah nenek moyang mereka selepas ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment