Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

13 September, 2010

Beberapa acara menarik Hari Malaysia di Sri Aman 16 September ini


Caption: UNTUK ALBUM...Bujang (duduk tengah) ketika bergambar kenangan bersama ahli jawatankuasa penganjur sebaik sahaja selesai sidang media di Pejabat Daerah Sri Aman hari ini.


SRI AMAN, Isnin (13 Sept) – Beberapa buah program telah dirangka untuk memeriahkan suasana sambutan Hari Malaysia @ Hari 16 September di Bandar Sri Aman pada 16 September ini nanti demikian menurut Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Haji Mudin.

Katanya program yang akan berlangsung di beberapa buah lokasi dalam bandar ini adalah Upacara Perarakan, Perbarisan, Pentas Kebudayaan 1Malaysia, Pertandingan Pidato Kenegaraan, Pertandingan Mewarna dan Hari Bersama Pelanggan.

“Program perarakan sejauh tiga kilometer bersempena dengan sambutan Hari Malaysia ini akan bermula dari Kompleks Sukan Sri Aman hingga Padang Lama KPSU Sri Aman bermula pada jam 7 pagi pada 16 September ini. Ia bakal melibatkan penyertaan sejumlah seramai 2,000 orang individu dari 59 buah kontinjen.

“Upacara pelepasan bendera akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Lawan. Kedua-dua wakil rakyat ini akan berarak bersama peserta hingga Padang Lama KPSU Sri Aman,” katanya kepada pemberita pada sidang media di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Sri Aman hari ini.

Ketibaan peserta program perarakan ke Padang Lama KPSU Sri Aman kata Bujang akan disambut oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim yang seterusnya menyempurnakan program perbarisan serta menaikkan Bendera Malaysia dan Bendera Negeri Sarawak pada program itu.

Dalam masa yang sama, ADUN Lingga, Hajah Simoi Haji Peri menurut beliau akan merasmikan Pertandingan Mewarna yang bakal membabitkan penyertaan seramai 400 orang murid sekolah rendah dan tadika di Mini Stadium Sri Aman pada jam 9.30 pagi.

Manakala itu Hari Bersama Pelanggan yang bakal membabitkan penyertaan tujuh agensi dari Kuching dan 10 lagi dari Sri Aman akan berlangsung di perkarangan Stesen Bas Sarawak Transport Company (STC) bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.

“Program seterusnya iaitu Pentas Kebudayaan 1Malaysia kata beliau akan berlangsung di perkarangan Stesen Bas Sarawak Transport Company (STC) bermula jam 8 malam yang akan dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

“Orang ramai berpeluang untuk menyaksikan pertandingan Ratu 1Malaysia menerusi program itu. Mereka juga berpeluang untuk menonton persembahan nyanyian oleh artis rakaman Iban popular di negeri ini iaitu Maxwel Franklin Saran, Urai, Jocy Menti dan Angela Lata Jua,” katanya.

Justeru Bujang berharap agar orang ramai dari bandar ini tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan pelbagai aktiviti menarik yang bakal berlangsung menerusi kesemua program itu pada 16 September ini nanti.

“Objektif utamanya ialah untuk menyedarkan seluruh komuniti penduduk tentang tarikh keramat penubuhan Persekutuan Malaysia iaitu 16 September 1963. Dengan adanya program ini kita berharap agar semangat patriotisme dapat terus disemai dikalangan golongan generasi muda di sini dari masa ke semasa,” menurut beliau.

Tamat.

No comments:

Post a Comment