Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

15 September, 2010

1,124 ekar tanah di Bakong, Engkilili mula disukat pada 20 September ini

SRI AMAN, Selasa (14 Sept) – Jabatan Tanah dan Ukur (JTS) Bahagian Sri Aman akan memulakan kerja mengukur tanah Hakmilik Adat Bumiputera (NCR) seluas 1,124 ekar di kawasan Bukong dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman bermula 20 September ini.

Justeru pihak JTS Sri Aman akan mengadakan Majlis Dialog Pengukuran Perimeter Survei Tanah NCR Di Lapangan yang bakal membabitkan penduduk dari Bukong, Danau dan Skandis bertempat di Rumah Pawi Lamoh, Danau, Engkilili pada 17 September ini nanti.

“Bukong adalah merupakan kawasan tanah NCR pertama yang bakal disukat oleh kerajaan di Bahagian Sri Aman setelah peruntukan bernilai RM20 juta disalur kepada Kerajaan Negeri pada 17 Ogos lepas.

“Oleh itu majlis yang akan bermula pada jam 8 malam itu akan membolehkan pemilik tanah NCR dari tiga kawasan berkenaan berdialoq dengan pihak JTS berhubung isu tanah NCR yang akan disukat bermula 20 September ini nanti,” kata jurucakap JTS Sri Aman ketika dihubungi hari ini.

Selain itu majlis itu nanti juga katanya membolehkan pemilik tanah NCR dari ketiga-tiga rumah panjang tersebut untuk meluahkan segala masalah atau pendapat masing-masing berhubung isu penyukatan tanah NCR terbabit.

Bagaimanapun majlis itu katanya lebih tertumpu kepada penjelasan tentang projek pengukuran tanah NCR milik penduduk dengan adanya peruntukan RM20 juta untuk tujuan itu selepas ini.

“Majlis Dialog Pengukuran Perimeter Survei Tanah NCR Di Lapangan ini akan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai iaitu Malcom Mussen anak Lamoh.

“Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak juga turut diundang untuk menghadiri majlis ini. Justeru pihak kami menasihatkan penduduk dari ketiga-tiga rumah panjang berkenaan untuk hadir pada sesi dialog itu nanti,” katanya.

Pihak JTS Sri Aman katanya juga berharap agar Majlis Dialog Pengukuran Perimeter Survei Tanah NCR Di Lapangan terbabit dapat menyelesaikan kekeliruan dan keraguan penduduk terhadap usaha menyukat tanah NCR milik mereka selepas ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment