Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 March, 2010

Lundu dan Sri Aman dipilih untuk projek benih padi


Caption: PENJELASAN...Rohani ketika menyampaikan ucapannya pada majlis terbabit baru-baru ini.

SRI AMAN, Ahad (28 Mac) – Dua buah lokasi di Sarawak telah dipilih bagi menjayakan Projek Perintis Pengeluaran Padi MR219 menerusi penganjuran Hari Ladang Mardi di negara ini demikian menurut Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim.

Menurut beliau dua buah lokasi di Sarawak yang dipilih untuk menjayakan Projek Perintis Pengeluaran Padi MR219 ini ialah Kampung Melayu Sekait, Sri Aman dan Tanjung Purun, Lundu.

Projek Perintis Pengeluaran Padi MR219 di Kampung Sekait, Sri Aman kata Rohani membabitkan penyertaan sejumlah 21 orang peserta dengan tanah berkeluasan lima hektar manakala projek di Tanjung Purun, Lundu pula membabitkan penyertaan seramai 41 orang peserta menerusi tanah berkeluasan 10.17 hektar.

“Ia merupakan salah satu projek di bawah strategi pelaksanaan Dasar Jaminan Bekalan Makanan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia bagi tahun 2008 hingga 2010 yang menelan belanja RM270,000 (Sekait dan Purun).

“Matlamat projek yang dijayakan dengan sinergi MARDI, Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman, Pertubuhan Peladang Kawasan Batang Lupar dan Pejabat Residen Sri Aman. ini adalah untuk meningkatkan purata pengeluaran hasil padi sekurang-kurangnya satu tan perhektar pada tahun terakhir 2010,” katanya.

Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Hari Ladang Mardi (Projek Perintis Pengeluaran Padi MR219 Kawasan Batang Lupar) di Kampung Melayu Sekait, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu kerajaan katanya akan menggunakan benih padi MR219 untuk jangkamasa menanam sehingga tiba musim menuai dalam tempoh 105 hari nanti di kedua-dua lokasi projek perintis berkenaan.

Asas pelaksanaan projek perintis kata Rohani adalah berdasarkan kepada pakej teknologi seperti dalam Manual Teknologi Penanaman Padi Lestari manakala kaedah penanaman yang digunakan adalah dengan cara menanam terus ke ladang daripada tapak semaian benih padi (25-30 hari).

“Sebenarnya projek yang menelan belanja sebanyak RM4.22 juta ini dilaksanakan di lapan kawasan jelapang dan lima kawasan luar jelapang dalam seluruh Malaysia melibatkan luas kawasan tanah penanaman sebanyak 247.23 hektar menerusi penyertaan 201 orang petani.

“Keseluruhan pencapaian projek perintis pada musim pertama (2008 / 2009) telah meningkat dengan ketara berbanding sebelum projek dilaksanakan menerusi rekod hasil antara 3.63 hingga 4.6 tan perhektar bagi kawasan luar jelapang dan dari 4.01 hingga 7.99 tan perhektar bagi kawasan jelapang

Justeru Rohani berharap agar projek perintis dapat dilaksana dengan jayanya selaras dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan Jelapang Padi Ke-9 Negara di kawasan Bijat / Stumbin, Lingga.

“Kementerian telah memohon peruntukan sebanyak RM250 juta bagi pelaksanaan projek ini dalam RMK Ke-10 daripada pihak agensi pusat disamping menubuhkan sebuah IADA di kawasan ini bagi menguruskan jelapang padi terbabit,” tambah beliau.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Mudin dan Timbalan Residen Sri Aman, Desmond Douglass Jerukan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment