Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

02 March, 2010

Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman anjur majlis makan malam 8 Mac ini

SRI AMAN, Selasa (2 Mac) – Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman akan menganjurkan Majlis Makan Malam 2010 bertempat di perkarangan luar Rumah MAKSAK, Jalan Kolam Air, Sri Aman pada 8 Mac ini.

Pengerusi Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman, Zulhairi Sulaiman berkata Majlis Makan Malam 2010 yang akan berlangsung di Rumah MAKSAK Sri Aman pada 8 Mac ini nanti akan bermula sekitar 7 malam.

“Majlis ini bertujuan untuk mempromosi Pusat Gimnasium Rakyat Sri Aman terhadap semua penduduk dalam bandar ini yang telah memulakan operasinya di Rumah MAKSAK Sri Aman semenjak tahun 2007 lalu.

“Justeru dengan adanya majlis seumpama itu pihak pengurusan kelab akan mampu memperluaskan pusat kemudahan Gimnasium Rakyat terhadap semua penduduk dalam bandar Sri Aman di masa akan datang,” katanya.

Selain itu majlis terbabit juga menurut beliau bertujuan untuk mengumpul dana bagi memudahkan Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman melaksana pelbagai program penting selepas ini.

Majlis makan malam yang bakal berlangsung jam 7 malam itu nanti kata Zulhairi akan dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden anak Hollis.

“Pelbagai acara menarik bakal diadakan ketika berlangsungnya majlis itu nanti antaranya demonstrasi pengendalian alatan gimnasium, pertunjukkan tayangan video, persembahan poco-poco, jamuan makan secara buffet dan sebagainya.

“Justeru diharap agar pengunjung pusat kemudahan dapat hadir sama ketika berlangsungnya majlis makan malam itu kelak. Sebarang pertanyaan berhubung majlis ini boleh dibuat dengan menghubungi timbalan saya iaitu Ellison Lingoh menerusi talian 014-5896030 sebelum 7 Mac nanti,” menurut beliau.

Beliau turut menambah bahawa pihak kelab kini sedang dalam proses mewujudkan sebuah blog bagi membolehkan orang ramai dari sekitar Sri Aman mengetahui lebih lanjut tentang Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman selepas ini.

Maklumat mengenai latar belakang dan aktiviti kelab kata Zulhairi boleh diketahui dengan melayari laman blog http://www.kelabgimnasiumrakyat.blogspot.com dengan alamat email: gimnasiumrakyat@gmail.com apabila ia sudah siap kelak.

Tamat.





No comments:

Post a Comment