Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 February, 2009

Wanita harus bersedia hadapi globalisasi - Simoi


PENGHARGAAN...Latifah (kanan) menyampaikan cenderatama kenang-kenangan kepada Simoi (kiri) sambil disaksikan oleh Shamshuddin (kiri sekali) ketika berlangsungnya majlis malam tadi.

SRI AMAN, Isnin (23 Feb) – Kaum wanita harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan pelbagai kemahiran untuk membina jati diri serta daya saing yang tinggi, nasihat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri.

Beliau menyatakan nasihat terbabit memandangkan masyarakat dunia kini khususnya wanita hidup dalam era globalisasi yang memungkinkan mereka berkongsi ilmu pengetahuan dan maklumat dengan cepat menerusi pelbagai teknologi komunikasi yang sedia ada.

“Bagaimanapun keburukannya di sini ialah apabila tersebarnya ‘virus-virus’ yang tidak baik seperti penyebaran gambar lucah atau maklumat negatif yang disebarkan menerusi kemudahan internet.

“Oleh itu sebagai seorang wanita, kita perlu mempunyai perancangan, matlamat yang jelas dan pelan bertindak untuk mengatasi segala cabaran,” katanya sambil menambah bahawa ianya selaras dengan Pembangunan Modal Insan yang menjadi agenda baru kerajaan untuk mengukuhkan jati diri masyarakat.

Simoi berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Amal Mesra 2009 anjuran Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kawasan Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Selain itu beliau juga mahu kaum wanita memberi perhatian kepada pelbagai masalah sosial yang melanda masyarakat pada masa sekarang termasuklah hal kesihatan, buta huruf, miskin tegar, penjagaan golongan Orang Kurang Upaya, budaya lepak, seks rambang dan jenayah.

“Wanita boleh memainkan peranan mereka untuk membantu mengurangkan masalah sosial yang kian melanda masyarakat pada masa sekarang ini dengan melaksanakan kegiatan kebajikan.

“Mereka boleh mendapatkan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, PEMADAM atau daripada lain-lain agensi kerajaan yang berkaitan sekiranya mahu menjayakan kegiatan kebajikan mereka,” katanya.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Zaidi Sarkawi, Pengerusi PPWS kawasan Sri Aman iaitu Latifah Mantali, para pegawai kerajaan, ketua kaumdan para ahli PPWS dari seluruh kawasan Sri Aman.

Simoi pada majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukkan tambahan kepada PPWS Sri Aman bernilai RM1,000 dan menjadikan jumlah peruntukkan itu kepada RM3,000 bagi tahun 2008 dan 2009.

Tamat.

No comments:

Post a Comment