Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

17 February, 2009

Tanah yang telah dibayar pampasan oleh kerajaan tidak boleh diganggu - Rayong


Caption: PENGHARGAAN...Tr Bau (kanan) sedang menyampaikan cenderamata kepada Rayong (kiri) ketika berlangsungnya majlis berkenaan baru-baru ini.

SRI AMAN, Rabu (18 Feb) – Penduduk tidak seharusnya bertindak mengerjakan pelbagai aktiviti di atas tanah yang sudah dimiliki oleh kerajaan menerusi pembayaran pampasan kepada pemiliknya untuk tujuan projek pembangunan di kawasan masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa berkata demikian ketika berucap pada Program Bicara Gemilang bertempat Rumah Panjang Bau, Jambu Lalang, Skrang, Sri Aman anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) N.28 Engkilili baru-baru ini.

Sikap degil dikalangan penduduk yang masih mahu bertindak bertindak demikian kata beliau secara tidak langsung boleh mengganggu perlaksanaan projek pembangunan yang telah dirancangkan oleh kerajaan terhadap kawasan tanah terbabit.

“Jangan melaksanakan aktiviti pertanian dan membina kediaman atau struktur bangunan di atas tanah yang telah dimiliki oleh kerajaan menerusi pembayaran pampasan kepada pemiliknya sebelum ini.

“Ini kerana tindakan anda (penduduk) berhubung hal ini dilihat seolah-olah menentang rancangan pembangunan oleh kerajaan di kawasan terbabit disamping mengganggu perlaksanaan pelan pembangunan yang sedia ada,” katanya.

Selain itu kata Rayong, penduduk terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar haruslah sedar bahawa setiap projek pembangunan oleh kerajaan sebenarnya memberikan faedah kepada peningkatan taraf hidup mereka.

Projek pembangunan ini yang mencakupi aspek peningkatan taraf ekonomi dan sosial penduduk menurut beliau secara tidak langsung boleh merapatkan jurang kemajuan yang dinikmati oleh mereka berbanding dengan penduduk di kawasan bandar.

“Justeru saya meminta penduduk memikirkan perkara ini sedalam-dalamnya sebelum bertindak mengikut telunjuk jari pihak tertentu yang mahu mereka mengganggu perlaksanaan projek pembangunan oleh pihak Barisan Nasional (BN),” katanya.

Rayong menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM7,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Bau manakala RM3,000 lagi kepada biro wanita rumah panjang terbabit.

Majlis ini yang telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak telah dihadiri seramai 500 penduduk dari lapan buah rumah panjang sekitar Sungai Batang Skrang, Sri Aman.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah anak Girie, Setiausaha Majlis Daerah Lubok Antu, Lolita James dan Penyelaras Parlimen JASA Lubok Antu Geoffery Baja aak Ricky Maba.

Tamat….

No comments:

Post a Comment