Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 February, 2009

Sungai Tunoh, Ulu Mujong, Kapit bakal dijadikan Bandar Baru Moden - Jabu



Caption: UNTUK ALBUM...Tan Sri Jabu (duduk tengah) bersama Dr Masing (kiri), Harden (kanan) bergambar kenangan bersama para tetamu kehormat dan wakil penerima cek replika wang dividen sebaik sahaja selesai majlis hari ini.

SRI AMAN, Ahad (8 Feb) – Kawasan Sungai Tunoh, Ulu Mujong dalam Bahagian Kapit bakal berubah wajah menjelang tahun 2020 kelak apabila kerajaan menerusi Unit Perancangan Negeri (SPU) kini sedang giat merangka pelan pembinaan Bandar Baru Moden (New Modern Township) di kawasan itu nanti.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang berkata demikian kepada para pemberita sebaik selesai merasmikan Majlis Randau Pemansang Bersama Rakyat anjuran Lembaga Penyatuan dan Pemuliharaan Tanah Sarawak (SALCRA) di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

“Seperti mana yang telah diilhamkan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud sebelum ini, projek pembinaan Bandar Baru Moden Sungai Tunoh, Ulu Mujong kelak bakal memberi impak pembangunan terhadap kawasan pendalaman di Kapit dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Justeru untuk itu, kerajaan menerusi SPU kini sedang merangka pelbagai pelan untuk memastikan kejayaan pembinaan bandar baru ini kelak dengan membangunkan kawasan tanah di situ dari segi projek pertanian moden, perlancongan dan banyak lagi,” katanya sambil menambah bahawa projek ini dianggap lebih ‘besar’ berbanding dengan projek pembangunan kawasan Bario.

Bagi menjayakan projek pembinaan bandar baru ini kata Jabu kerajaan juga sedang turut mengkaji pembinaan laluan jalan darat yang lebih baik dari kawasan Bandar Kapit menuju ke kawasan Sungai Tunoh, Ulu Mujong berkenaan.

Laluan jalan sepanjang 17 kilometer yang menghubungkan Bandar Kapit dan Nanga Mujong kata beliau sudah pun berturap manakala jalan sepanjang 60 kilometer yang menghubungkan Nanga Mujong sehingga ke Sungai Tunoh, Ulu Mujong pula masih lagi menjadi laluan pembalakan.

“Kajian ini juga merangkumi laluan pembalakan sepanjang 90 kilometer yang menghubungkan Nanga Mujong hingga ke Putai di kawasan Empangan Hidroelektrik Bakun yang mana di kawasan itu (Putai) kelak kita bakal mengazetkan tanah berkeluasan 200,000 ekar untuk dijadikan sebagai Taman Hutan Hidupan Liar dalam rancangan ini.

“Bagaimanapun pembinaan bandar baru ini akan dilaksanakan sekiranya pelan ini diluluskan kelak tanpa perlu menunggu kajian pembinaan jalan ini (Nanga Mujong – Sungai Tunoh – Putai) untuk siap kelak,” katanya.

Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar turut menambah bahawa SALCRA menerusi pelan ini akan dipertanggungjawab untuk melaksana projek pembangunan tanah di kawasan Sungai Tunoh, Ulu Mujong menerusi projek pertanian komersial.

Terdahulu Datuk Patinggi Jabu telah menyampaikan wang dividen bernilai RM723,000 kepada 808 peserta skim kelapa sawit SALCRA dari Estet Pakit Undop, Sri Aman pada majlis berkenaan.

Hadir sama ialah Menteri Kemajuan Tanah, Dato Sri Dr James Jemut Masing, Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, ADUN Balai Ringin, Snowdan Lawan, ADUN Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, ADUN Bukit Begunan, Mong Dagang, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Pengurus Besar SALCRA, Datu Vasco Sabat Singkang, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, para pegawai kerajaan dan peserta skim kelapa sawit SALCRA bagi Estet Pakit Undop.

Kerajaan menerusi SALCRA sehingga kini telah pun membayar sejumlah RM17,516,289 wang dividen kepada semua peserta skim penanaman sawit bagi Estet Pakit Undop dalam tempoh 24 tahun ini.

Tamat.







1 comment:

  1. saya ucapkan jutaan terima kasih kepada barisan kerajaan atas segala prihatian terhadap kawasan pendalaman yang tidak terus diabaikan dari segi aspek kemajuan setanding dengan kawasan2 yang sudah maju di sarawak mahupun seluruh malaysia ini akan ..neilBujang tunoh..

    ReplyDelete