Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

03 February, 2009

Rumah Panjang Sungai Semilang, Tanjung Bijat musnah dijilat api kebakaran


Caption: MALANG...Seorang penghuni sedang meninjau kawasan rumah panjang telah musnah dalam kejadian kebakaran yang bermula pada jam 1.40 petang hari ini.


SRI AMAN, Selasa (3 Feb) – Rumah Gendi anak Ranti, Sungai Semilang, kawasan Tanjung Bijat, dalam daerah kecil Lingga, Sri Aman musnah dijilat api menerusi kejadian kebakaran yang berlaku pada jam jam 1.40 petang hari ini.

Seorang penduduk yang ditemui Utusan Sarawak di tempat kejadian terbabit menjelaskan bahawa kejadian kebakaran ini telah menyebabkan kesemua 16 buah bilik di rumah panjang berkenaan musnah dijilat api.

“Kejadian kebakaran ini dipercayai bermula dari sebuah bilik di ruang tengah bilik rumah panjang berkenaan dan api seterusnya merebak ke seluruh ruang rumah panjang ini lalu memusnahkannya hanya dalam tempoh setengah jam sahaja,” kata penduduk berkenaan yang enggan namanya disiarkan di sini.

Sementara itu seorang jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman ketika dihubungi berkata pihaknya telah menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran ini pada jam 1.45 petang.

“Sebaik sahaja menerima panggilan berhubung kejadian ini, sejumlah 10 orang anggota bomba dengan sebuah trak jentera pemadam kebakaran telah dihantar ke tempat kejadian terbabit.

“Operasi memadam kebakaran di rumah panjang Sungai Semilang oleh pihak bomba ini telah tamat sepenuhnya menjelang jam 4.40 petang hari ini,” katanya sambil menambah bahawa punca kebakaran masih lagi dalam siasatan pihak terbabit.

Kejadian kebakaran yang memusnahkan 16 buah bilik Rumah Gendi anak Ranti, Sungai Semilang ini secara tidak langsung telah menyebabkan kesemua 122 orang penghuni rumah panjang berkenaan tinggal sehelai sepinggang.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri ketika dihubungi berkata beliau telah pun menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran terbabit dan melakukan lawatannya ke lokasi kejadian pada hari Sabtu ini sebaik sahaja selesai dari melaksanakan urusan kerja rasminya.

Sehingga berita ini ditulis tiada sebarang kemalangan jiwa yang membabitkan penghuni rumah panjang dilaporkan berlaku menerusi kejadian kebakaran ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment