Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

09 February, 2009

Jabu nasihat rakyat jangan dengar tohmahan bekas wakil rakyat BN


Caption: ADAT…Jabu sedang memegang seekor ayam bagi tujuan Adat Bebiau sebelum bermulanya majlis di sini semalam sambil disaksikan oleh (dari kiri) Simoi, Dr Masing dan Harden.

SRI AMAN, Isnin (9 Feb) – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang memperingatkan penduduk di daerah ini agar tidak mudah termakan pujuk rayu daripada bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang kini menyertai parti pihak pembangkang.

Menurut beliau terdapat bekas wakil rakyat BN di daerah ini yang sudah memulakan kempen masing-masing dengan menghasut penduduk dari luar kawasan bandar untuk menyertai parti pembangkang bagi menentang pihak kerajaan BN.

“Mereka tidak akan berjaya berbuat demikian kerana penduduk di daerah ini sudah pun tahu bahawa pihak pembangkang tidak akan mampu membuat sebarang perubahan terhadap peningkatan taraf hidup mereka melainkan hanya kerajaan BN,” katanya tanpa menyatakan nama bekas wakil rakyat BN.

Jabu yang juga Menteri Pembanguna Luar Bandar berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Randau Pemansang Bersama Rakyat anjuran Lembaga Penyatuan dan Pemuliharaan Tanah Sarawak (SALCRA) di Dewan Suarah Sri Aman semalam.

Selain itu tindakan pihak pembangkang dalam menghasut penduduk untuk tidak melibatkan diri dalam projek pertanian komersial seperti sawit selama ini kata beliau sememangnya amat dikesali.

Ini kerana projek penanaman kelapa sawit sepertimana yang telah dikendali oleh pihak Lembaga Penyatuan dan Pemuliharaan Tanah Sarawak (SALCRA) di atas tanah milik penduduk menurut Jabu sememangnya menguntungkan diri mereka sendiri.

“Lagipun SALCRA semenjak 25 tahun yang lalu sudah pun membayar dividen bernilai RM93 juta kepada para peserta skim penanaman sawit di bahagian Sri Aman ini dan ianya menjadi bukti bahawa kerajaan tidak pernah bercakap kosong sekiranya mahu menaiktaraf hidup penduduk luar bandar di kawasan ini,” katanya.

Terdahulu Datuk Patinggi Jabu telah menyampaikan wang dividen bernilai RM723,000 kepada 808 peserta skim kelapa sawit SALCRA dari Estet Pakit Undop, Sri Aman pada majlis berkenaan.

Hadir sama ialah Menteri Kemajuan Tanah, Dato Sri Dr James Jemut Masing, Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, ADUN Balai Ringin, Snowdan Lawan, ADUN Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, ADUN Bukit Begunan, Mong Dagang, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Pengurus Besar SALCRA, Datu Vasco Sabat Singkang, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, para pegawai kerajaan dan peserta skim kelapa sawit SALCRA bagi Estet Pakit Undop.

Kerajaan menerusi SALCRA sehingga kini telah pun membayar sejumlah RM17,516,289 wang dividen kepada semua peserta skim penanaman sawit bagi Estet Pakit Undop dalam tempoh 24 tahun ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment