Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

03 September, 2011

Ribut petir terbangkan bumbung dan papan iklan bangunan di Sri Aman



Caption:

1. PERLU DIBAIKI...Atap bumbung atas bangunan CIMB Bank Sri Aman kelihatan terkeluar selepas kejadian ribut petir pada 31 Ogos lepas dan perlu diperbaiki segera selepas ini.

2. TERGENDALA...Bengkel syarikat International dan Kiong Inn terpaksa ditutup sementara selama tiga jam kerana hujan lebat hari ini semenjak kehilangan bumbung dan papan iklan semenjak kejadian ribut petir pada 3 Ogos lepas.


SRI AMAN, Sabtu (3 Sept) – Atap bumbung dan papan iklan milik beberapa buah premis perniagaan dalam Bandar Sri Aman mengalami kerosakan teruk dipercayai berpunca dari cuaca ribut petir yang melanda kawasan ini pada malam 31 Ogos lepas.

Tinjauan rambang Utusan Sarawak mendapati bahawa kesan kerosakan yang berpunca dari kejadian ribut petir itu masih jelas boleh dilihat di premis-premis perniagaan terbabit hingga hari ini.

Antara premis perniagaan yang mengalami kerosakan atap bumbung dan papan iklan berpunca dari kejadian ribut petir terbabit adalah bangunan CIMB Bank, Bengkel Kiong Inn Motor dan Bengkel Syarikat International di Jalan Hospital, Sri Aman.

Seorang peniaga kedai runcit ketika ditemui mendakwa kejadian ribut petir telah melanda pusat Bandar Sri Aman bermula dari jam 11 malam hingga jam 3.30 pagi pada malam 31 Ogos berkenaan.

“Malam itu memang berlaku ribut petir. Apabila saya mahu membuka kedai runcit pada 1 September lepas saya amat terkejut apabila mendapati bahawa atap bumbung dan papan iklan milik premis perniagaan terbabit rosak teruk,” katanya.

Beliau yang enggan namanya disiarkan mendakwa bumbung di atas bangunan CIMB Bank perlu dibaiki secepat mungkin memandangkan ia boleh mendatangkan risiko kecederaan terhadap orang ramai yang lalu lalang di situ selepas ini.

Sementara itu para pekerja Bengkel syarikat Internationl dan Kiong Inn Motor dirundung malang apabila hujan lebat pada hari ini menyebabkan mereka terpaksa menutup kedai selama tiga jam.

“Bahagian perkarangan hadapan bengkel tidak dapat beroperasi selama tiga jam akibat hujan lebat disebabkan oleh kerosakan bumbung dan papan iklan akibat kejadian ribut petir pada malam 31 Ogos lepas.

“Bagaimanapun ia adalah cabaran yang perlu setiap insan hadapi ketika bekerja. Hujan atau tidak, ia tidak akan dapat menghalang saya dan rakan yang lain menunaikan tanggungjawab sebagai pekerja bengkel,” kata Nasir.

Tamat.

Keturunan Allahyarhan KK Abang Chee Abang Masleh bersatu ketika perayaan Raya


Caption: BERSATU KEMBALI...Abang Naim (hadapan empat kanan) bersama waris keluarga allahyarham KK Abang Chee ketika berlangsungnya majlis itu di Kampung Kelaka, Simunjan.


SIMUNJAN, Sabtu (3 Sept) – Sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri 2011 M / 1432 H telah dimeriahkan lagi dengan Majlis Perjumpaan Keluarga Serumpun yang berlangsung di Kampung Keleka, Simunjan baru-baru ini.

Majlis Perjumpaan Keluarga Serumpun bersempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri ini melibatkan seramai 200 orang ahli keluarga yang terdiri daripada waris bekas iaitu Ketua Kampung (KK) Allahyarham Abang Chee bin Abang Masleh.

“Majlis ini membolehkan kesemua ahli waris allahyarham Abang Chee bersuai kenal di antara satu sama yang lain ketika berlangsungnya sambutan hari kedua perayaan Hari Raya Aidilfitri di perkarangan rumah anak keempatnya di kampung terbabit.

“Ia secara tidak langsung juga dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan di antara waris allahyarham menerusi majlis berkenaan,” menurut pengerusi penganjur dan generasi kedua waris allahyarham iaitu Abang Naim Abang Pauzi.

Majlis ini kata Naim juga merupakan salah satu inisiatif untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara ahli waris allahyarham yang kian renggang kerana berhijrah ke lain-lain tempat kerana kerja atau mengikut keluarga.

Justeru beliau berharap agar tali persaudaraan di antara kesemua waris keluarga allahyarham Abang Chee tidak akan putus menerusi penganjuran majlis berkenaan di masa akan datang.

Terdahulu allahyarham Abang Chee bin Abang Masleh adalah merupakan seorang bekas Pegawai Hutan pada zaman tahun 1950’an dahulu muncul diantara Ketua Masyarakat yang terawal di daerah Simunjan.

Tamat.

Gereja Saint Luke, Sri Aman yang baru hampir siap dibina


Caption: RASMI...Harden (tiga kanan), Masir (empat kanan) dan Rayong (enam kanan) ketika bersama penderma memotong reben sebagai simbolik perasmian majlis itu.


SRI AMAN, Sabtu (3 Sept) – Penganut agama Kristian mazhab Anglican bakal beribadat di Gereja Saint Luke, Sri Aman yang baru apabila proses pembinaannya dijangka hampir siap dalam masa terdekat kelak.

Projek pembinaan Gereja Saint Luke, Sri Aman terbaru berkenaan telah menelan kos pembinaan sebanyak RM2.4 juta dan majlis pembukaannya dijangka akan berlangsung pada 11 Disember tahun ini.

Namun begitu Gereja Saint Luke yang mempunyai seramai 10,000 orang ahli yang majoritinya terdiri daripada penduduk kaum Iban sekitar Sri Aman masih memerlukan dana sebanyak RM350,000 untuk membolehkan ia siap sepenuhnya selepas ini.

Oleh yang demikian usaha untuk mengumpul lebih dana bagi menjayakan projek pembinaan gereja baru terbabit telah diadakan menerusi majlis makan malam yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Majlis makan malam bersempena dengan usaha bagi mengumpul dana pembinaan gereja baru terbabit telah pun disempurnakan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa dan Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh.

Harden telah menyumbang derma sebanyak RM17,000 bagi tujuan itu manakala Masir pula menyumbang sebanyak RM5,000, Rayong RM10,000 dan Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak pula ialah RM8,000.

Sementara itu beberapa orang ahli perniagaan kaum Cina serta individu berpengaruh dari sekitar Bandar Sri Aman juga turut menyumbangkan derma yang mencatat nilai keseluruhan berjumlah RM60,000.

Ini bermakna majlis makan malam kendalian jawatankuasa penganjur yang diketuai bekas Deputi Supertenden Polis (B) Nelson Jin telah berjaya mengutip sebanyak RM100,000 bagi menyiapkan Gereja Saint Luke Sri Aman yang baru selepas ini.

Harden ketika berucap merasmikan majlis makan malam itu telah menyeru orang ramai untuk menyumbang derma masing-masing bagi menampung baki kos pembinaan gereja baru terbabit.

“Justeru saya berharap agar usaha orang ramai ini akan membolehkan gereja baru itu siap sepenuhnya sebelum majlis pembukaan pada bulan Disember depan,” kata beliau tanpa menamakan wakil rakyat yang bakal diberi penghormatan untuk merasmikan majlis pembukaan itu nanti.

Tamat…

Harden meriahkan sambutan Raya di Sri Aman






Caption: 1 MALAYSIA...Harden (duduk tengah) bergambar kenangan bersama tuan rumah dan rombongan ketika berlangsungnya sambutan Hari Raya di Sri Aman.


SRI AMAN, Sabtu (3 Sept) – Sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri di Sri Aman bukan sahaja disambut meriah oleh orang awam dan kakitangan kerajaan malah turut diserikan lagi dengan aktiviti kunjung-mengunjung oleh wakil rakyat dalam kawasan ini.

Ia terbukti apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis mengadakan aktiviti ziarah raya terhadap rumah para ketua kaum Melayu dalam kawasan pentadbiran beliau bermula dari 30 Ogos hingga 2 September lepas.

Antara rumah ketua kaum Melayu yang dikunjungi oleh beliau dan rombongan ialah an Penghulu Haji Abdul Samad Haji Abdul Rahim di Kampung Hulu Sri Aman, Rumah Haji Li bin Suhai, Rumah Mazelan Ani dan Rumah Sharkawi Haji Morshidi di Kampung Muhibbah Sri Aman.

Hadir sama dalam rombongan itu adalah Temenggung Sii Toh peng, Penghulu Lee Siang Hua, Kapitan Kuek Aik Seng, Kaunselor Jimmy Chong dan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak Sri Aman, Vincent Roy Muda.

Beliau juga turut berkunjung ke Majlis Rumah Terbuka, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Melayu, Taman Srijaya, Sri Aman, Alhias Muhi dan Pengerusi JKKK Melayu Taman Harmoni, Sri Aman, Zainal Abidin.

Terdahulu Harden yang juga Menteri Muda Kemajuan Tanah berkata Gagasan konsep 1Malaysia nyata mampu disemaikan dikalangan penduduk berbilang kaum dalam bandar Sri Aman ketika berlangsung perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya berkata ia terbukti apabila penduduk bukan Islam dalam Bandar Sri Aman melakukan kunjungan raya ke rumah rakan Islam masing-masing ketika berlangsungnya perayaan utama terbabit.

“Penduduk bukan Islam di negeri ini khasnya di Bandar Sri Aman sememangnya sudah mengamalkan amalan ini ketika sambutan Hari Raya sebelum konsep Gagasan 1Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

“Justeru pentingnya di sini ialah perlaksanaan Gagasan 1Malaysia dijayakan lagi dengan adanya amalan kunjung-mengunjungi seperti ini menjelang perayaan utama di negara kita,” katanya.

Tamat.

Pelajari budaya kaum lain - Harden


Caption: SERIUS...Harden (kiri sekali) ketika berucap merasmikan majlis berkenaan sambil disaksikan oleh Masir (depan tiga kiri) dan tetamu jemputan khas pada majlis itu.


SRI AMAN, Isnin (29 Ogos) – Setiap kaum digalak untuk mengenali dan mempelajari budaya dan adat resam antara satu sama lain bagi menjayakan perlaksanaan konsep 1Malaysia selepas ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata perlaksanaan konsep 1Malaysia akan membawa lebih banyak makna terhadap semua penduduk berbilang kaum dalam negeri ini pada masa akan datang.

“Sebenarnya mempelajari budaya dan adat resam kaum antara satu sama lain akan memperkukuhkan lagi hubungan perpaduan yang sudah terjalin antara penduduk berbilang kaum dalam negeri ini.

“Kelebihannya di sini ialah perpaduan membolehkan kerajaan melaksana pelbagai projek pembangunan dengan lebih terurus dan lancar dalam negeri ini dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Barang Kepada Golongan Istimewa yang berlangsung di perkarangan luar Persatuan Chee Chuang Khor Simanggang kelmarin.

Harden juga mengalakkan persatuan untuk menganjur lebih banyak aktiviti bercorak kebudayaan dan adat resam demi mengeratkan lagi hubungan perpaduan antara kaum selepas ini.

Justeru beliau berharap agar penduduk sedar bahawa hanya menerusi kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telus maka barulah perpaduan dapat diwujudkan dalam negara ini khasnya di Sarawak.

Hadir sama bagi memeriahkan suasana sambutan majlis adalah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Timbalan Residen (Sosial) Bahagian Sri Aman, Felicia Tan, Pengerusi Persatuan Chee Chuan Khor Simanggang, Kapitan Kuek Aik Seng serta ahli jawatankuasa persatuan yang lain.

Harden menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada Persatuan Chee Chuan Khor Simanggang manakala Masir pula mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 juga kepada persatuan terbabit.

Tamat.

Saya bukan pendendam - Rayong



Caption: MESRA...Rayong (kanan) sedang berbual mesra dengan seorang Warga Emas ketika tiba di rumah panjang terbabit sambil diiringi Tr Roy (kiri) pada majlis itu.


ENGKILILI, Isnin (29 Ogos) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata beliau tidak akan membalas dendam terhadap mana-mana pihak yang tidak mahu menyokongnya pada pilihan raya negeri lepas.

Ini kerana beliau telah mengamalkan politik perpaduan yang mengajak semua rakyat untuk sama-sama membangunkan kawasan DUN Engkilili dari segala segi pada masa akan datang.

“Saya kini sudah pun menjadi wakil rakyat di Engkilili. Ia secara tidak menuntut tanggungjawab sama untuk membangunkan hidup rakyat yang telah menyokong saya dan tidak menyokong saya pada pilihan raya negeri lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Info Komuniti 1 Malaysia anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Sri Aman di Rumah Roy Edward Entalai, Selindong Ulu, Engkilili baru-baru ini.

Rayong pada majlis itu juga menyeru golongan anti Barisan Nasional (BN) untuk kembali menyokong semula kerajaan bagi sama-sama memajukan kawasan Engkilili selepas ini.

Kerajaan katanya memerlukan sokongan rakyat untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan demi kebaikan hidup mereka yang mencakupi kemudahan infrastruktur, perhubungan dan pendidikan.

“Berhenti menentang BN. Dengan menyokong penuh kerajaan maka projek pembangunan di kawasan Engkilili akan dapat dilaksanakan dengan penuh lancar dari masa ke semasa,” katanya.

Majlis yang dianjurkan secara kerjasama dengan Komuniti Selindong Ulu, Engkilili, menyaksikan Rayong mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 untuk JKKK Selindung Ulu dan RM5,000 untuk biro wanita rumah panjang terbabit.

Hadir sama ialah Pembantu Penerangan Daerah Sri Aman, Dennis Tandat, Pembantu Luar Kanan JASA Engkilili, Edwin Ancheh, para kakitangan kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat…

Tingkat kesedaran mengenai bahaya wabak Denggi - Masir


Caption: UNTUK ALBUM...Masir (tengah) sambil diapit oleh Johnathan (kiri) dan Mujah (kanan) bergambar kenangan sebelum bermulanya kempen tersebut.

SRI AMAN, Isnin (29 Ogos) – Kesedaran mengenai serangan wabak penyakit berbahaya yang disebabkan oleh kawasan persekitaran tidak sihat perlu dipertingkatkan dikalangan penduduk terutama sekali dari kawasan luar bandar selepas ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Gotong-Royong Dan Anti Denggi anjuran Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) yang berlangsung di Rumah Dery Kasin, Panggil, Sri Aman baru-baru ini.

Katanya serangan wabak penyakit berbahaya seperti Demam Denggi dan Chikungunya perlu diberi perhatian sewajarnya terhadap penduduk memandangkan ia berpunca dari kawasan penempatan kotor selama ini.

“Tin kosong, tayar dan lain-lain sampah sarap yang berpotensi untuk menakung air secara tidak langsung telah memberi laluan terhadap Nyamuk Aedes membiak di penempatan penduduk.

“Jika penduduk mengamalkan sikap sambil lewa berhubung perkara terbabit maka mereka akan mudah terdedah kepada serangan wabak Demam Denggi dan Chikungunya yang diakibatkan oleh spesis nyamuk berkenaan selepas ini,” katanya.

Beliau juga menyeru penduduk luar bandar agar sentiasa berdikari untuk menganjurkan kempen kebersihan kampung seperti membersihkan kawasan saliran longkang dan semak-samun dalam kawasan masing-masing.

Usaha seperti ini kata Masir secara tidak langsung akan memberi teladan kepada penduduk dari lain-lain kampung untuk turut sama menganjurkan pelbagai aktiviti bagi membersihkan kawasan penempatan kampung di masa akan datang.

“Justeru saya berharap agar Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (JKKK) tidak bergantung kepada tajaan kerajaan atau agensinya bagi membersihkan kawasan kampung selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh, Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman (MDSA), Nelson Mujah Girie, wakil Walikota MDSA, Kaunselor Roland Chenggir dan para kaunselor dari MDSA itu sendiri.

Masir menerusi kempen berkenaan telah mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 kepada JKKK Rumah Redy dan RM3,000 lagi untuk biro wanita rumah panjang berkenaan.

Tamat.