Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 May, 2020

Task Force PKPB Sri Aman terus bertugas

Caption: BERTUGAS...Pasukan Task Force PKPB Sri Aman sedang membincangkan sesuatu ketika melakukan pemantauan terhadap premis-premis perniagaan di sekitar Bandar Simanggang.

SIMANGGANG (19 MEI): Pemilik premis perniagaan dan orang ramai di Bandar Simanggang dimohon agar lebih serius mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman, Kapten (PA) Siti Huzaimah Ibrahim berkata pematuhan terhadap PKPB adalah amat penting agar usaha mencegah penularan COVID-19 di sini dapat dilaksana dengan berkesan kelak.

"Kami juga menasihat orang ramai dan pemilik perniagaan di sini agar tidak memandang mudah kelonggaran arahan ini kerana tindakan seperti itu mungkin boleh mempertingkatkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan mereka kelak.

"Justeru tolong patuhi PKPB dari masa ke semasa. Gunakanlah topeng penutup muka dan cecair pembasmi kuman ketika mengunjungi lokasi tumpuan ramai sambil mengamalkan langkah penjarakan sosial antara satu sama lain," kata beliau.

Sementara itu pasukan Task Force PKPB Sri Aman kata Siti telah pun bertindak memeriksa sejumlah 16 premis perniagaan yang sedang beroperasi dalam bandar ini bermula pagi Isnin lepas.

Lapan daripada 16 premis tersebut katanya adalah Borneo Food Court, Tamu Food Court, Sinar Seri Kesang, Singer, Pasar Tamu, Ceria Goldsmith, Zoo Electrical House dan Garden Food Court.

Manakala baki lapan premis lagi katanya adalah Pasar Raya Doraemon DIY, Popular Food Court, Golden City Kopitiam, Wong Enterprise, Champion Inn Kopitiam, Open Air Market dan Pasar Raya Lian Yi.

"Operasi pemantaun PKPB oleh pasukan Task Force terhadap premis-premis perniagaan berkenaan termasuk kilang di Sri Aman telah berjalan lancar tanpa berlakunya sebarang insiden tidak diingini.

"Justeru kami berharap agar pemilik premis terus mematuhi PKPB dan bertindak mencata suhu badan dan mengambil nama pelanggan yang datang berurusan ke tempat mereka jika dikehendaki berbuat demikian sebelum ini,"kata Siti.

Terdahulu pasukan Task Force PKPB Sri Aman ini telah pun dianggotai oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tenteta Malaysia, Majlis Daerah Sri Aman, APM dan Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia.

Tamat


No comments:

Post a Comment