Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 May, 2020

Rumah Panjang Nanga Ulai, Debak adakan gotong-royong dalam PKPB

DEBAK (19 MEI): Penduduk Rumah Saga Unggut, Nanga Ulai di sini amat menekankan kebersihan di kawasan persekitaran mereka walaupun dalam keadaan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada masa sekarang.


Ia terbukti apabila sejumlah 19 Ketua Keluarga di situ bergabung tenaga untuk melaksanakan aktiviti gotong-royong di kawasan rumah panjang mereka di bawah panduan pengkuatkuasaan PKPB.

"Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nanga Ulai telah mengambil keputusan untuk tidak mengabaikan tahap kebersihan di sini terlalu lama walaupun PKPB sedang dikuatkuasa.

"Atas sebab itulah aktiviti gotong-royong dilaksana agar rumah panjang kami sentiasa bebas daripada kehadiran wabak lain terutama denggi walaupun pandemik COVID-19 menjadi musuh semua pihak pada masa sekarang," kata Tr Saga Unggut.

Menerusi aktiviti gotong-royong berkenaan pihaknya kata beliau telah pun bertindak menebas rumput dan memotong pokok kecil di samping mengumpul serta memusnahkan sampah sarap di sekeliling rumah panjang.

Malahan kerja membersihkan tangki simpanan air terawat katanya juga turut dilaksanakan agar penduduk Rumah Panjang Nanga Ulai sentiada mendapat bekalan air bersih dari masa ke semasa.

Sementara itu jurucakapnya Francis Juing Kadat berkata kesemua penduduk yang terlibat dalam aktiviti gotong-royong ini telah melalui pemeriksaan suhu badan sebelum melakukan kerja masing-masing.

"Ini bagi memastikan kesemua penduduk bebas daripada simptom virus COVID-19 dan tidak menjangkiti mereka yang terlibat dalam aktiviti gotong-royong di sekitar rumah panjang kami," kata beliau.

Francis turut menambah aktiviti gotong-royong di rumah panjangnya selesai pada jam 11.30 pagi dengan kesemua penduduk sekali lagi menjalani pemeriksaan suhu badan bagi mereka sentiasa sihat.

"Tr Saga Unggut mengucapkan terima kasih terhadap semua anak buahnya kerana rela memberikan sokongan dalam menjayakan aktiviti gotong royong pada kali ini walaupun PKPB masih dikuatkuasakan," kata beliau.


No comments:

Post a Comment