SIMANGGANG: Suasana aman di sebuah pasar raya dalam bandar ini petang Khamis lepas telah dicemari dengan kehadiran seorang lelaki yang bertindak berleter sendirian di situ sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pelanggan.
Sebahagian pelanggan dilihat berasa waswas manakala
pelanggan yang lain pula dilihat bersikap tidak endah walaupun lelaki berkenaan
dilihat memegang sebotol minuman keras ketika berleter sendirian di situ.
Pada mulanya lelaki berkenaan hadir di pasar raya
tersebut untuk membeli sesuatu sekitar jam 1.40 petang sebelum tabiat buruknya
itu mula muncul di kawasan kaki lima premis perniagaan tersebut.
"Saya tidak pasti sama ada lelaki itu siuman atau
tidak. Tapi yang pastinya lelaki ini selalu berleter sendirian di mana-mana tempat
dalam bandar ini dan sering menunggang motorsikal dengan bising.
"Setakat ini saya tidak pernah mendengar dia
mendatangkan kecederaan kepada orang ramai...bagaimanapun gelagat seperti itu
boleh menimbulkan rasa kurang senang kepada mereka yang melihatnya dan perlu
dihentikan," kata seorang pelanggan lelaki.
Manakala itu, seorang pelanggan wanita yang berada di
pasar raya tersebut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan lelaki itu kerana
dia tidak menghormati sambutan bulan Ramadan yang sedang berlangsung sekarang.
"Memegang botol minuman keras di khalayak ramai
adalah tidak elok. Tambahan pula penduduk muslim kini sedang menyambut bulan
Ramadan dan perlu dihormati semua penduduk berlainan agama di dalam bandar ini.
"Justeru saya berharap agar ada pihak tampil
memeriksa tahap kesihatan lelaki tersebut dan seterusnya bertindak memberi
teguran kepadanya agar berhenti buat demikian di khalayak ramai kelak,"
kata wanita itu.
Lelaki tersebut dilihat berleter sendirian selama 15
minit di kaki lima pasar raya berkenaan sebelum beredar dengan menunggang
motorsikalnya sendiri ke arah Pasar Tamu Sri Aman yang baharu.
No comments:
Post a Comment