Mugshot : LEONARD LIBAU ANOL
SRI AMAN, Sabtu (22 Okt) – Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Selanjan akan mengelolakan Majlis Malam Mesra Bersama Pemimpin Dan Kejohanan Olahraga Antara Rumah Sukan 2011 pada 27 dan 28 Oktober ini.
Guru Besar SK Selanjan, Leonard Libau Anol berkata majlis yang bertemakan ‘Segulai Sejalai Ngemansang ke Sekula’ itu bertujuan untuk menghargai jasa dan sumbangan pihak PIBG terhadap sekolah selama ini.
“Ia juga bertujuan untuk menyediakan satu hari terbuka kepada ibubapa murid, penduduk dan kakitangan sekolah untuk bergaul mesra di antara satu sama yang lain pada majlis dan kejohanan olahraga terbabit.
“Majlis Mesra Mesra PIBG Bersama Pemimpin ini akan dirasmikan oleh Menteri Muda Pelancongan Dan Warisan, Datuk Mong Dagang bermula jam 7.30 malam pada 27 Oktober ini bertempat di dewan sekolah,” katanya.
Antara aktiviti yang diadakan pada majlis itu nanti ialah Pertandingan Bintang Kecil Terbuka kepada murid-murid SK Selanjan dan kilauan emas bagi kategori orang dewasa dan tuai-tuai rumah yang berdekatan.
Sementara itu pada 28 Oktober pula, Kejohanan Olahraga Antara Rumah Sukan 2011 katanya bakal menyaksikan pasukan Rumah Inspira, Ezora dan Pesona berentap bagi merebut kejuaraan dalam pertandingan itu.
Kejohanan yang bakal dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat itu kata Leonard bertujuan untuk memilih wakil atlit SK Selanjan ke Kejohanan Olahraga Peringkat Zon Pantu pada tahun depan.
“Selain acara untuk murid sekolah, pihak kami juga turut mengadakan acara untuk ibu bapa antaranya ialah pertandingan menyumpit , sepak takraw terbuka, poco-poco dan banyak lagi.
“Justeru kami berharap agar semua warga dan penduduk tempatan yang berada di kawasan berdekatan dengan SK Selanjan untuk turun padang bagi sama-sama membantu dan turut serta bagi menjayakan kedua-dua majlis terbabit,” katanya.
Leonard turut menambah bahawa majlis dan kejohanan olahraga terbabit secara tidak langsung akan memberi ruang kepada penduduk bagi merapatkan lagi hubungan dengan wakil rakyat mereka sendiri.
Tamat.
No comments:
Post a Comment