Caption:
1. SERIUS...ASP Rahim sedang membentangkan kertas kerjanya kepada para peserta ketika berlangsungnya program itu.
2. SIBUK...Para peserta sedang mencatit nota masing-masing ketika berlangsungnya program berkenaan.
SRI AMAN, Selasa (18 Okt) - Kadar jenayah yang melibatkan kes pergaduhan, gangsterism, dadah dan pelacuran di kalangan pelajar sekolah kini berada pada satu tahap yang membimbangkan.
Justeru, Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) Sarawak telah bertindak menganjurkan Seminar Pencegahan Jenayah Peringkat Sekolah - Sekolah Menengah Daerah Kuching / Samarahan di Dewan Bakun-Balleh, Kolej PTPL baru-baru ini.
ASP Abdul Rahim Abdullah dari Unit Risikan dan Operasi, IPD Kuching menerusi siaran akhbar oleh pihak PTPTL hari ini memberitahu masalah ini boleh mengakibatkan keruntuhan moral yang kronik jika gagal ditangani dengan segera.
“Kita memuji langkah pihak PTPTL untuk menganjur seminar seperti ini memandangkan masalah seperti itu boleh mengagalkan hasrat kerajaan bagi melahirkan golongan masyarakat penyayang pada masa akan datang.
“Lagipun kita mahu masyarakat sentiasa peka dan sedar akan bahaya jenayah di kalangan pelajar sekolah jika tidak dibendung selepas ini,”katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Buli di Kalangan Pelajar Sekolah’.
Sementara itu pengarah program iaitu Hazwan Sahabuzan berkata seminar ini melibatkan seramai 75 orang guru kaunselor dari setiap sekolah di Kuching / Samarahan disamping melibatkan 40 orang tenaga pengajar Kolej PTPTL itu sendiri.
Beliau berharap agar kehadiran para peserta ini dapat membantu memberi kesedaran kepada masyarakat umum dan seterusnya memainkan peranan bagi mengurangkan jenayah di kalangan para pelajar sekolah.
Terdahulu seminar terbabit dijayakan menerusi pembentangan kertas kerja bertajuk Jenayah Seksual di kalangan pelajar sekolah oleh Pegawai Siasatan Jenayah Seksual dan Keganasan Rumah tangga, IPD Kuching iaitu Inspektor Nor Suhana Marwan dan Pengurusan Stress Pelajar oleh Kaunselor SMK Siburan, Chua Sim Huat.
Pengetua Kolej PTPL Sarawak, Aidil Adzhar Abu Samah, menyempurnakan majlis penutupan program sambil disaksikan oleh Ketua Akademik, Bebe Yanti Mohamed dan, Pengerusi Kelab Staff Kolej PTPL Sarawak, Siti Rohaya Mahmud.
Tamat.
No comments:
Post a Comment