Caption: TINGGAL KENANGAN...Jambatan gantung ini masih merentangi Sungai Nanga Klassen dan memberi seribu kenangan terhadap penduduk dan kakitangan sekolah di situ.
SRI AMAN, Sabtu (29 Okt) – Hanya tinggal kenangan. Itulah ungkapan yang boleh digambarkan terhadap jambatan gantung yang merentangi Sungai Nanga Klassen, Sri Aman pada masa sekarang.
Jambatan gantung yang berusia lebih dari 40 tahun ini pernah berfungsi sebagai laluan perhubungan dan pengangkutan yang amat penting dikalangan penduduk kampung dan sekolah di situ pada suatu masa dahulu.
“Jambatan gantung yang merentangi Sungai SK Nanga Klassen ini sudah wujud ketika Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menjadi artis pujaan ramai dikalangan penduduk Sarawak.
“Di sini anda boleh bayangkan betapa lamanya jambatan gantung terbabit telah menyumbangkan jasanya kepada penduduk di Nanga Klassen dan juga sekolah di sini,” kata seorang penduduk di situ.
Ia menjadi laluan utama dikalangan murid dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Klassen yang sering berulang-alik dari sekolah ke rumah ketika berlangsung waktu persekolahan atau ketika berlangsung aktiviti penting di situ.
Bagaimanapun keuzuran jambatan gantung ini nyata memberi kebimbangan terhadap semua pihak lebih-lebih lagi dikalangan ibubapa murid dan para guru yang berkhidmat di SK Nanga Klassen.
Sudahnya pokok penahan jambatan gantung terbabit kian tumbang, kegusaran penduduk semakin meningkat apabila struktur kayu terbabit mula mereput dengan kabel besi jambatan gantung itu kian berkarat.
Paling tidak dapat dilupakan ialah apabila SK Nanga Klassen terpaksa ditutup buat sementara waktu sekitar musim banjir pada bulan Ogos tahun lepas apabila air sungai naik mendadak dan menenggelamkan jambatan gantung terbabit.
Namun kini jambatan gantung terbabit hanya tinggal kenangan setelah ia tidak lagi digunakan oleh penduduk dan kakitangan sekolah semenjak kerajaan membina jambatan baru berharga lebih RM400,000 pada masa sekarang.
Jambatan gantung terbabit masih lagi merentangi Sungai Nanga Klassen hingga ka masa sekarang dan semestinya menyimpan pelbagai nostalgia serta sejarah silam dikalangan penduduk serta kakitangan sekolah di situ.
Tamat.
No comments:
Post a Comment