Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 October, 2011

Hantar profail JKKK dua kali setahun kepada Pejabat D.O - Harden

Caption: UNTUK ALBUM...Harden bergambar kenangan bersama Kinchai (kanan) dan ahli JKKK Jalan Kampung Belimbing sebaik sahaja menyempurnakan pemotongan kek ulang tahun penubuhan JKKK berkenaan malam tadi.


SRI AMAN, Sabtu (29 Okt) – Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) digesa agar menghantar profail lengkap sekurang-kurangnya dua kali setahun kepada Pejabat Daerah dalam kawasan masing-masing selepas ini.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata ia bertujuan untuk membolehkan pihak Pejabat Daerah memantau aktiviti JKKK terbabit dari masa ke semasa.

“Menerusi profail terbabit, setiap JKKK dinilai berdasarkan kepada prestasi mereka dalam melaksanakan pelbagai aktiviti dan juga cara mereka menggunakan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan menerusi wakil rakyat sebelum itu.

“JKKK yang didapati aktif berdasarkan kepada penilaian menerusi profail terbabit akan membolehkan kerajaan menyalurkan lebih banyak bantuan kepada mereka disamping melaksana pelbagai program di situ pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun ke-11 penubuhan JKKK Kampung Jalan Belimbing di sebuah restoran dalam bandar ini malam tadi.

Selain itu JKKK yang gagal menghantar profail lengkap kepada Pejabat Daerah kata Harden akan menyebabkan mereka ketinggalan berbanding dengan JKKK yang aktif berbuat demikian.

“Justeru saya berharap pihak JKKK khasnya di Sri Aman untuk lebih serius menghasilkan profail masing-masing ke arah mewujudkan kawasan penempatan cemerlang dari segi pembangunan selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Pengerusi JKKK Kampung Jalan Belimbing, Max Kinchai Mual, Naib Pengerusinya, George Enggung, Ketua Biro Wanita, Jennifer, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Simanggang, Vincent Roy dan ketua kaum di sini.

Harden menerusi itu menyerahkan cek Peruntukan Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM5,000 kepada JKKK Kampung Jalan Belimbing disamping mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada JKKK terbabit bagi tahun 2012.

Majlis turut dimeriahkan lagi dengan majlis penyampaian insentif pelajaran, nyanyian lagu karaoke, persembahan suara emas dan upacara memotong kek Ulang Tahun Penubuhan JKKK Jalan Kampung Belimbing.

Tamat.

No comments:

Post a Comment