Caption: TERIMALAH...Yusof (kanan) sedang menyampaikan cenderamata kepada seorang penceramah iaitu Fauzana (kiri) ketika berlangsungnya kursus berkenaan.
Saleman Senin,
Betongnews1.blogspot.com
BETONG, Rabu (3 Nov) – Seramai 56 orang guru prasekolah telah menghadiri Kursus Peningkatan Profesionalisme Guru Prasekolah bertempat di sebuah hotel tempatan dalam bandar Saratok baru-baru ini.
Kursus Peningkatan Profesionalisme Guru Prasekolah anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Betong itu telah melibatkan para guru prasekolah dari 47 buah sekolah rendah dalam kawasan Betong.
Penolong Penyelia Unit Pengurusan Sekolah PPD Betong, Yusof Anthony bin Ross, ketika ditemui memberitahu kursus terbabit adalah salah satu aktiviti yang dilaksana oleh pihaknya bagi mempertingkatkan sistem pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di sekolah-sekolah selepas ini.
“Kursus yang berlangsung selama dua hari itu juga adalah merupakan satu persediaan untuk para guru prasekolah di Betong bagi menghadapi sesi persekolahan yang akan datang.
“Menerusi kursus ini pihak kita telah memberi ruang kepada para guru untuk mendalami serta mempertingkatkan ilmu pengetahuan masing-masing dalam bidang dan opsyen mereka,” katanya.
Selain itu kursus terbabit juga menurut Yusof adalah merupakan usaha untuk menjadikan murid prasekolah menguasai ilmu 3M (Menulis, Membaca, Mengira) menerusi komitmen yang dilaksana oleh para guru ke arah memenuhi modul Standard Kualiti Pendidikan Kebangsaan di masa akan datang.
Malahan kursus berkenaan jelas beliau juga akan membolehkan para murid prasekolah tidak dimasukkan ke dalam golongan pelajar yang terpilih untuk dimasukkan ke kelas pemulihan khas setelah mereka melangkah ke kelas formal di Tahun Satu nanti.
”Justeru menerusi kerjasama daripada semua peserta, kursus tersebut telah berjaya dilaksanakan dengan berkesan mengikut sistem pengajaran dalam modul standard prasekolah yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia,” katanya.
Yusof turut menambah bahawa Unit Pengurusan Sekolah, PPD Betong telah bertanggungjawab dalam merancang dan memastikan program tersebut berjalan dengan lancar mengikut tajuk yang bersesuaian dan diteliti terlebih dahulu.
Tamat.
No comments:
Post a Comment