Caption: UNTUK ALBUM...Ring Labang dan Kulok Laga bersama guru SK Engkilili No.2 bergambar kenangan bersama penerima sijil dan hadiah ketika berlangsungnya majlis itu.
Oleh Uding Ragai
ENGKILILI, Khamis (18 Nov) – Pendidikan merupakan elemen terpenting dalam hidup bagi mencapai kemajuan pada masa akan datang demikian menurut Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Engkilili No.2, Ring anak Labang.
Katanya pendidikan memberi kelebihan terhadap seseorang individu untuk bersaing dalam cabaran global terutama sekali dari segi aspek pencarian pekerjaan yang sesuai dengan bidang diri masing-masing.
“Saingan dijangka sengit dalam mencari pekerjaan menerusi pasaran global pada masa akan datang. Justeru murid-murid dinasihat agar bersedia untuk tujuan ini mulai sekarang,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Dan Hadiah SK Engkilili No.2 bertempat di dewan sekolah berkenaan kelmarin.
Selain itu para murid menurut Ring juga harus serius untuk mencapai keputusan yang terbaik dalam bidang akademik masing-masing agar tidak ketinggalan berbanding dengan lain-lain individu yang berjaya selepas ini.
Sementara itu Guru Besar SK Engkilili No.2, Kulok Laga ketika berucap berharap agar kejayaan murid dalam mencapai keputusan cemerlang pada UPSR tahun ini dijadikan sebagai contoh oleh murid yang bakal menduduki ujian yang sama pada tahun akan datang.
“Ibubapa dan guru boleh memainkan peranan yang lebih serius untuk membantu mempertingkatkan prestasi pendidikan anak-anak di sekolah mereka dari masa ke semasa,” katanya.
Terdahulu Ring pada majlis itu telah menyampaikan Insentif sumbangan daripada tabung PIBG SK Engkilili No.2 kepada 19 orang murid yang berjaya mencatat keputusan cemerlang (lulus penuh) pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010.
Dalam majlis tersebut, Floryana Deang anak Ngelambong muncul penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Tahun 2010 manakala Willyson anak Steward Muwan menerima Anugerah Peningkatan Ketara.
Peratus kelulusan murid bagi keputusan UPSR Tahun 2010 SK Engkilili No.2 dilaporkan meningkat kepada 59.38% berbanding peratusan keputusan sebelum itu.
Tamat.
No comments:
Post a Comment