Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 July, 2010

Wanita harus kuasai ICT - Masir


Caption: UNTUK KENANGAN...Khadijah (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Masir (kanan) sambil disaksikan oleh Shamshuddin (dua kanan) pada majlis itu.

SRI AMAN, Selasa (13 JUlai) – Wanita digalak untuk menguasai sepenuhnya bidang Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) dalam menjana pembangunan di kawasan Sri Aman selepas ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat berkata dengan menguasai bidang ICT kaum wanita akan memperoleh lebih banyak kelebihan dalam mencadang segala idea yang boleh menyumbang kepada pembangunan kawasan Sri Aman di masa akan datang.

“Menerusi kemudahan internet, kaum wanita dapat memperoleh segala idea untuk menjana atau merancakkan projek pembangunan di kawasan Sri Aman yang mencakupi aspek ekonomi dan sosial.

“Misalnya dari segi ekonomi mungkin kaum wanita dapat menyumbang idea tentang langkah menaikkan taraf pelancongan di bandar Sri Aman. Menerusi internet juga mereka boleh membantu kita untuk mempromosi jenis bidang ekonomi di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sehari Bersama Warga Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) kawasan Sri Aman 2010 bertempat di Mini Stadium Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu Masir juga mahu kaum wanita untuk terus berganding bahu dengan kaum lelaki tanpa ada sebarang unsur diskriminasi dalam merancakkan lagi proses pembangunan di kawasan Sri Aman.

Kaum wanita kata beliau sudah membuktikan bahawa mereka juga boleh ‘berdiri sama tinggi’ bersama kaum lelaki dalam melaksanakan segala urusan pembangunan dengan memegang jawatan tinggi di jabatan kerajaan selama ini.

“Paling penting orang lelaki harus berhenti memandang rendah kebolehan kaum wanita. Orang lelaki harus mengakui bahawa dunia zaman sekarang menuntut kedua-dua kaum untuk saling bekerjasama dalam menjayakan sesuatu perkara.

“Justeru saya meminta pihak PPWS di sini untuk terus berusaha gigih dalam memperjuangkan martabat kaum wanita pada masa akan datang kerana modal insan berkualiti juga datangnya dari kaum mereka dan bukan sahaja lelaki,” kata Masir.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pengerusi Daerah PPWS Kawasan Sri Aman, Khadijah Abdullah, Kanselor Mas Shamshiah Haji Maslem dan Penghulu Haji Abdul Samad.

Program Sehari Bersama Warga PPWS kawasan Sri Aman 2010 bertempat di Mini Stadium Sri Aman itu dimeriahkan lagi pertandingan sukaneka, gerai jualan makanan dan pertandingan karaoke.

Tamat.

No comments:

Post a Comment