Caption: UNTUK ALBUM...Isaac (duduk tengah) ketika bergambar kenangan bersama peserta ketika berlangsungnya kursus berkenaan baru-baru ini.
SRI AMAN, Sabtu (24 julai) - Seramai 30 orang Kakitangan RISDA Sarawak telah menghadiri Kursus Komunikasi Bahasa Iban bertempat di Santubong Resort, Kuching bermula 19 hingga 22 Julai lepas.
Kesemua 30 orang kakitangan RISDA yang dipilih untuk menghadiri kursus adalah daripada Pejabat RISDA Negeri Sarawak dan kesemua Pejabat RISDA Bahagian iaitu Samarahan, Betong dan Sibu.
Antara modul yang di ajar menerusi kursus ini adalah Pengenalan Kaum Iban dan Bahasa Iban, Tatabahasa Iban, Pertuturan Dalam Bahasa Iban, Pemahaman Maksud, Ucapan Rasmi dalam Bahasa Iban.
Selain itu aktiviti pembelajaran menarik juga turut diadakan seperti membaca, memahami dan membuat rumusan Berita dalam Bahasa Iban, Bertutur, Menyanyi lagu Iban, Menyediakan teks ucapan dan memberi ucapan dalam Bahasa Iban.
Kursus berkenaan telah dikendalikan oleh Isaac Stalin anak Simon sambil dibantu oleh Josephine Thomas dan Warren Sambau.
“Tujuan utama Kursus Komunikasi Bahasa Iban ini diadakan adalah untuk mendedahkan Bahasa Iban kepada Kakitangan RISDA supaya mereka dapat berinteraksi dan menjalankan tugas dengan lebih baik tanpa batasan bahasa di kawasan penempatan Kaum Iban.
“Justeru kami berharap agar para peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya pengetahuan yang mereka peroleh menerusi kursus berkenaan selepas ini,” kata Isaac menerusi kenyataan beritanya hari ini.
No comments:
Post a Comment