SRI AMAN, Khamis (18 Feb) – Bandar Sri Aman terpilih sebagai tuan rumah untuk Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri yang bakal berlangsung pada 26 Februari ini di Padang Kementerian Pembangunan Sosial dan Uerbanisasi (KPSU) Lama, Sri Aman.
Perkara ini telah diumumkan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Haji Daud Abdul Rahman pada sidang media yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Majlis Daerah Sri Aman hari ini.
Menurut beliau Majlis Islam Sarawak telah diamanahkan oleh Kerajaan Negeri untuk mengetuai pengelolaan majlis sambutan ini bersama-sama dengan Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, agensi kerajaan serta pihak berkenaan.
“Setakat ini sejumlah 113 kontigen dari jabatan kerajaan, agensi swasta, masjid, surau, persatuan, kelab, sekolah serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah mengesahkan diri untuk menyertai perarakan ini nanti.
"Dijangka sekitar 5,000 orang penduduk dari Sri Aman, Kuching, Serian, Betong dan Sarikei akan datang bagi memeriahkan suasana majlis itu nanti,” menurut beliau sambil menambah bahawa pelbagai aktiviti menarik telah dirangka bagi tujuan itu.
Ia adalah Majlis Ceramah Agama, Zikir Maulid, Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul, Pertandingan Hadrah, Pertandingan Pidato (Sekolah Menengah), Cerita Kisah Nabi, Pertandingan Nasyid, Pertandingan Zikir Marhaban, Perhimpunan Wanita Bestari, Pertandingan Sepanduk, Seminar Wakaf, Seminar Perundangan dan Falak Syarie, Xplore Masjid dan Surau, Ceramah dan Forum Ehwal Islam dan Program Berambeh Saudara Kita.
Daud yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Negeri Sarawak berkata Majlis Ceramah Agama dan Zikir Maulid akan bermula jam 6 petang di Masjid Bandar Sri Aman pada 25 Februari manakala Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul bermula jam 8 pagi pada 26 Februari di Padang KPSU Lama Sri Aman.
Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Mohammad Salahuddin bersama Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah dan Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dijangka hadir bagi menyaksikan majlis itu.
“Pertandingan Hadrah dan Pertandingan Pidato (Sekolah Menengah) dan Cerita Kisah Nabi yang akan diadakan pada 20 Februari bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Agama, Majlis Islam Sarawak (MIS) Sri Aman bermula jam 9 pagi dan jam 8 malam.
“Manakala Pertandingan Nasyid pula akan diadakan pada 23 dan 24 Februari bermula jam 8 malam di Majlis Kampung Muhibbah Sri Aman. Serentak pada malam itu juga akan diadakan Pertandingan Zikir Marhaban di Masjid Bandar Sri Aman bermula jam 8.30 malam,” menurut beliau.
Perhimpunan Wanita Bestari kata Daud pula akan diadakan di Dewan Suarah, Sri Aman pada 25 Februari bermula jam 8 pagi hingga 12.30 tengahari manakala pada hari berikutnya pula iaitu 26 Februari pula akan diadakan Pertandingan Sepanduk semasa perarakan bermula jam 8 pagi.
Pada 2 Mac pula akan diadakan Seminar Wakaf bertempat di Dewan Suarah Sri Aman dari jam 8 lagi hingga 1 petang manakala pada 3 Mac pula akan diadakan Seminar Perundangan dan Falak Syarie bertempat di Dewan Masjid Besar Sri Aman bermula dari jam 8 pagi hingga 4 petang.
“Turut akan diadakan ialah Xplore Masjid dan Surau pada 6 Mac depan bermula dari jam 5.30 petang hingga jam 6 petang bermula di Masjid Kampung Muhibbah, Sri Aman dan akan berakhir di Masjid Bandar Sri Aman.
“Manakala pada 11 Mac pula akan diadakan Ceramah dan Forum Ehwal Islam bertempat di Masjid Solatul Rahman, Kampung Stumbin, Sri Aman bermula jam 8 malam.
Pada 13 Mac akan diadakan Program Berambeh Saudara Kita bertempat di Dewan Serbaguna, Punggu Mawang, Sri Aman bermula jam 7.30 pagi hingga 12.30 tengahari,” jelasnya.
Justeru itu penduduk Sri Aman dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan ini nanti. Hadir sama pada sidang media berkenaan, Yang Dipertua Islam Negeri Sarawak, Datu Putit Matzen, Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji serta kakitangan Jabatan Agama Islam Sarawak yang lain.
Objektif utama perayaan ini dianjurkan adalah untuk mengingati kembali peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai uswah hasanah iaitu contoh teladan (role model) bagi umat Islam.
Tamat.
No comments:
Post a Comment