Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 October, 2011

TBS Sri Aman sampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa serangan ribut di Maludam


Caption: PRIHATIN...Shamsul (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa (kiri) sambil disaksikan oleh ahli keluarga mangsa serangan ribut pada majlis itu.

MALUDAM, Khamis (13 Okt) – Tiga buah keluarga mangsa serangan ribut taufan di Kampung Triso, Maludam, Betong pada petang 7 Oktober lepas iaitu Jemali Seman, Kayah Amin dan Adnan Sabal telah menerima bantuan daripada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Sri Aman baru-baru ini.

Pengurus TBS Sri Aman, Shamsul Bahri Manap memberitahu bantuan terbabit bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa apabila separuh ruang rumah mereka musnah dengan atap bumbung rumah diterbangkan ribut pada kejadian itu.

“Pihak kami telah bergegas menuju ke lokasi kejadian (Triso) setelah mendapat maklumat daripada rakan keluarga mangsa berhubung kejadian serangan ribut taufan yang berlaku di situ pada hari Jumaat minggu lepas.

“Justeru saya mengingatkan penduduk di kawasan kerap dilanda bencana agar sentiasa bersedia dan menghubungi agensi yang bertanggungjawab agar bebanan mangsa dapat dikurangkan sebaik sahaja berlaku sesuatu bencana itu selepas ini,” katanya.

Selain itu beliau juga melahirkan rasa kesalnya berhubung dakwaan sesetengah pihak yang gemar mengkritik tanpa usul periksa sehingga menjejaskan akauntabiliti dan kredibiliti pihak lain.

Para pengkritik terbabit sebaliknya menurut Shamsul hanya tegar ‘membatu tuli’ terhadap kepayahan yang dialami oleh jiran sekampung tanpa mengambil sebarang ikthiar bagi menyelesaikan masalah tersebut dengan sewajarnya.

“Tanggungjawab sosial adalah perukunan yang perlu digalas bersama tanpa mengira status lebih-lebih lagi jika bergelar sesama Muslim. Semua pihak mempunyai tanggungjawab yang sama berhubung perkara ini,” katanya.

Terdahulu pihak TBS Sri Aman telah menghulurkan sumbangan barangan berupa keperluan asasi terutamanya makan, minum dan wang kepada ketiga-tiga keluarga mangsa serangan ribut taufan berkenaan.

Ketua Kampung Triso, Abang Atep Abang Sibo yang hadir sama dalam upacara penyampaian sumbangan itu berharap agar individu atau agensi tertentu tampil untuk menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa selepas ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment