Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

05 October, 2011

Semai nilai tanggungjawab korporat sosial

Caption: TERIMA KASIH...Harden (tengah) menerima cenderamata daripada Yusof (kanan) sambil disaksikan oleh Zawawie (kiri sekali) pada majlis berkenaan.


SRI AMAN, Selasa (4 Okt) – Agensi kerajaan dan swasta perlu menanam nilai tanggungjawab sosial korporat terhadap rakyat di dalam negeri ini demikian menurut Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis Harden Hollis.

Menurut beliau, tanggungjawab sosial korporat daripada pihak terbabit adalah adalah amat penting demi menyumbang ke arah pembangunan hidup rakyat dari segi kebajikan sosial selepas ini.

“Agensi kerajaan dan swasta boleh membuktikan komitmen mereka berhubung perkara ini dengan turun padang ke kawasan penempatan rakyat untuk melaksanakan pelbagai aktiviti sosial di situ dari masa ke semasa.

“Malah ia secara tidak langsung boleh mengenepikan pandangan rakyat terhadap peranan terhad agensi kerajaan atau swasta berkenaan ketika melaksanakan operasi mereka selepas ini,” katanya.

Harden yang juga Menteri Muda Perumahan berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat Titian Kasih Hasil yang berlangsung di Rumah Ringgit Bayang, Ibol, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu beliau juga meminta rakyat dari kawasan rumah panjang atau kampung untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi kerajaan atau swasta yang mahu menganjurkan program bercorak tanggungjawab sosial korporat di masa akan datang.

Terdahulu Program Tanggungjawab Sosial Korporat Titian Kasih Hasil yang bertemakan Spread The Love Be With Us ini adalah anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Kuching, Sarawak.

Pelbagai aktiviti telah diadakan di Rumah Ringgit antaranya ialah gotong-royong membersihkan rumah panjang, sukaneka, sumbangan makanan, program anak angkat, penyampaian cenderahati kepada penghuni di situ dan banyak lagi.

Hadir sama ialah wakil Pengarah cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Kuching, Sarawak, Yusof Abdul Talis, Penyeleras Program, Ugak Nyun dan Pegawai Memerintah 13 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Pakit Sri Aman, Leftenan Kolonel Zawawi Adam.

Tamat.

No comments:

Post a Comment