Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 October, 2011

Ibubapa perlu turun padang wujudkan sekolah cemerlang - Harden


Caption: TERIMALAH...Harden (tiga kiri) menyerahkan replika cek kepada Temenggong Sii (tengah) sambil disaksikan oleh tetamu khas yang lain ketika berlangsungnya majlis itu.

SRI AMAN, Jumaat (21 Okt) – Kewujudan sekolah berprestasi cemerlang dari segi akademik tidak akan berjaya tanpa adanya kerjasama daripada ibubapa terhadap para guru di sekolah terbabit selepas ini.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis Harden Hollis berkata prestasi akademik sekolah boleh dipertingkat sekiranya ibubapa bertindak menjadi guru kepada anak mereka di rumah untuk sepanjang masa.

“Hanya bergantung kepada para guru sahaja tidak cukup untuk mempertingkatkan prestasi anak-anak di sekolah melainkan jika ibubapa turun padang membantu pihak sekolah untuk berbuat demikian.

“Kerjasama antara ibubapa dan guru berhubung perkara terbabit akhirnya akan menguntungkan kedua-dua pihak  dengan kewujudan sekolah cemerlang itu menjamin masa depan hidup anak masing-masing selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Nyanyian Karaoke Lagu-Lagu Mandarin Bagi Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Peringkat Bahagian Sri Aman – Betong di SJK Chuang Hua Simanggang malam tadi.

Selain itu Harden yang juga Menteri Muda Perumahan mengalakkan sekolah-sekolah untuk menganjurkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan nyanyian lagu, sukan dan sebagainya  bagi mencungkil bakat para murid dalam bidang terbabit.

“Justeru saya berharap agar peningkatan prestasi murid-murid dalam bidang akademik dapat diseimbangkan dengan pencapaian mereka dalam bidang sukan dan kokurikulum pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Pengerusi Persatuan Guru-Guru Sekolah Aliran Cina Sri Aman, Lai Ngit Sin, Pengerusi Lembaga Sekolah SJK Chung Hua Simanggang, Temenggong Sii Toh Peng dan setiausahanya Kapitan Kuek Aik Seng dan pengerusi pengelola, Sim Kung Hui.

Sejumlah 10 buah sekolah mengambil bahagian dalam pertandingan itu antaranya ialah SJK Chung Hua Simanggang, SJK Chung Hua Undop, SJK Chung Hua Lingga, SJK Chung Hua Pantu, SJK Chung Hua Maludam, SJK Chung Hua Min Syn, SJK Chung Hua Kabong, SJK Chung Hua Spaoh dan SJK Chung Hua Pusa.

Harden pada majlis itu turut menyerahkan cek bernilai RM5,000 kepada Kelab Rekreasi Dan Kebajikan SJK Chung Hua Simanggang disamping mengumumkan peruntukan bernilai RM6,000 kepada Persatuan Guru-Guru Sekolah Aliran Cina Sri Aman manakala RM2,000 lagi daripada ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa.

Tamat.

No comments:

Post a Comment