Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 November, 2010

Teruskan bakti anda terhadap sekolah nasihat Harden kepada bekas warga pendidik


Caption: UNTUKMU...Harden (dua kiri) menerima cenderamata daripada Edmeade manakala Winston (kanan sekali) memberi cenderamata kepada Demong (dua kanan).


SRI AMAN, Sabtu (20 Nov) – Bekas warga pendidik digalakkan untuk terus berbakti terhadap bekas sekolah masing-masing demikian menurut Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Luke Sri Aman 2010 anjuran lembaga sekolah berkenaan di sebuah restoran tempatan dalam bandar ini malam tadi.

Bekas warga pendidik seperti guru katanya boleh terus melakukan bakti masing-masing dengan turun padang untuk membantu menjayakan penganjuran sesebuah program oleh bekas sekolah mereka selepas itu.

“Golongan ini juga boleh memberikan pendapat atau idea bernas kepada pihak pengurusan sekolah tentang langkah untuk memajukan akademik murid-murid atau sekolah itu sendiri,” katanya.

Selain itu Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menasihatkan para penduduk agar tidak melupakan jasa para guru yang pernah mengajar diri mereka sebelum ini.

Golongan guru katanya telah menabur bakti terhadap negara dengan melahirkan golongan insan yang berkualiti terutama sekali dalam arena politik, sektor ekonomi dan pembangunan sosial selama ini.

“Justeru orang ramai harus sentiasa menghormati golongan guru walaupun mereka masih bekerja atau sudah bersara selepas ini,” katanya lalu mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 untuk tahun ini dan RM5,000 lagi untuk tahun hadapan.

Hadir sama ialah Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiyai, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SK Saint Luke Sri Aman, Edmeade Rujis dan Guru Besar SK Saint Luke, Winston Dimbap anak Jala.

Tamat.

No comments:

Post a Comment