Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 July, 2010

RES akan diperluas di Sri Aman

Mugshot: MASIR KUJAT

SRI AMAN, Khamis (29 Julai) – Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat optimis bahawa kerajaan bakal melaksanakan lebih banyak projek Pembekalan Elektrik Luar Bandar (RES) dalam kawasan luar bandar di Sri Aman dalam tempoh dua tahun akan datang.

Katanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika lawatannya ke Lachau pada bulan Februari lepas telah memberitahu beliau secara persendirian berhubung perkara berkenaan.

“Beliau (Najib) telah memberitahu saya dan tiga orang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kawasan parlimen Sri Aman bahawa lebih banyak RES akan dibina dalam kawasan saya dalam Rancangan Malaysia akan datang.

“Ini berita baik untuk penduduk luar bandar Sri Aman. Kita menjangkakan projek penyediaan kemudahan RES akan dapat diperluas dalam kawasan Parlimen Sri Aman dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya.

Masir berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kempen Kebersihan dan Anti Denggi bertempat di Rumah Inchang, Skriau Ai baru-baru ini.

Untuk itu kata Masir beberapa kertas cadangan mengenai pembinaan kemudahan RES di kawasan DUN Simanggang, DUN Bukit Begunan dan DUN balai Ringin telah dihantar kepada pihak Kerajaan Pusat bagi tujuan kelulusan selepas ini.

“Saya yakin rumah panjang atau kampung yang sudah mempunyai jalan raya sebelum ini mempunyai peluang untuk menikmati kemudahan asas berkenaan di masa akan datang.

“Justeru saya meminta semua penduduk dalam kawasan Parlimen Sri Aman khasnya yang menetap di kawasan luar bandar untuk bersabar jika mahu menikmati kemudahan RES terbabit selepas ini,” katanya.

Terdahulu Menteri Muda Pertanian merangkap Menteri Muda Pelancongan dan Warisan, Mong anak Dagang telah merasmikan Kempen Kebersihan dan Anti Denggi yang berlangsung di Rumah Inchang, Skriau Ai berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment