Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 July, 2010

Pesta Lingga 2010 meriah


Caption: MERIAH...Penduduk sedang membanjiri kawasan Pekan Lingga ketika berlangsung Pesta Lingga di situ hari ini.


LINGGA, Jumaat (23 Julai) – Kawasan Lingga dijangka akan mula membangun di masa akan datang dengan adanya penganjuran Pesta Lingga 2010 yang berlangsung di Pekan Lingga bermula dari 23 hingga 25 Julai ini.

Tinjauan rambang Utusan Sarawak mendapati bahawa sekitar 1,000 orang penduduk membanjiri kawasan Pekan Lingga bagi menyaksikan pelbagai aktiviti menarik yang diadakan bersempena dengan sambutan pesta terbabit.

Antara aktiviti yang diadakan bersempena dengan Pesta Lingga ialah gerai jualan beraneka, persembahan kebudayaan, pertandingan karaoke, pertandingan lumba perahu, pertandingan rakit berhias dan banyak lagi.

Pesta Lingga yang telah berlabuh tirainya bermula 16 Julai lalu ternyata menarik kedatangan ratusan orang penduduk yang semestinya tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan acara menarik berkenaan sebelum ini.

Seorang penduduk iaitu Morgan Alban, 27, dari Nyakai, Sri Aman ketika ditemui memberitahu bahawa kerajaan telah melakukan usaha yang terbaik untuk membangunkan kawasan daerah kecil Lingga selepas ini.

“Penganjuran Pesta Lingga 2010 sememangnya satu strategi yang bijak daripada kerajaan bagi membangunkan kawasan daerah kecil Lingga pada masa 10 hingga 20 tahun akan datang.

“Ini kerana Pekan Lingga mempamerkan banyak produk menarik seperti ikan terubok dan udang galah yang sememangnya menjadi makanan kegemaran utama penduduk dari kawasan Sri Aman,” katanya.

Manakala itu Nasir Abdullah, 22, percaya bahawa kerajaan akan memberi lebih banyak fokus terhadap pembangunan di kawasan Lingga dengan penganjuran Pesta Lingga selepas ini.

“Pesta Benak contohnya telah memacu industri pelancongan di kawasan Bandar Sri Aman. Begitu juga dengan Pesta Lingga yang bakal mengubah wajah pembangunan Pekan Lingga selepas ini,” katanya.

Terdahulu Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Haji Mohd Naroden Majais telah merasmikan sambutan Pesta Lingga 2010 bertempat di Pentas Kebudayaan 1Malaysia, Pekan Lingga hari ini.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, ADUN Asajaya merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji dan Pegawai Daerah Sri Aman, Haji Bujang Mudin.

Tamat.

No comments:

Post a Comment