Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

04 July, 2010

Pemansuhan PMR dan UPSR. Apa kata guru?




Musghot:

1. THOMAS...Sediakan penilaian khas.

2. GILBERT...Setuju

3. SALEMAN...Tidak setuju

SRI AMAN, Jumaat (2 Julai) – Kementerian Pelajaran Malaysia kelmarin telah memutuskan bahawa sekiranya Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) wajar dimansuhkan maka ia akan dilakukan pada tahun ini.

Hasrat pihak Kementerian Pelajaran Malaysia berhubung isu tersebut dipercayai menimbulkan pelbagai reaksi daripada golongan warga pendidik dan ibubapa murid-murid yang bakal berhadapan dengan keputusan berkenaan selepas ini.

Oleh itu Utusan Sarawak telah mengambil kesempatan ini untuk mendapatkan pendapat umum daripada beberapa orang warga pendidik berhubung hasrat pihak Kementerian Pelajaran Malaysia yang mahu memansuhkan UPSR dan PMR.

Penolong Kanan I dari Sekolah Kebangsaan Tanjung Bijat, Thomas Sumbang, berkata pihak kementerian dan Lembaga Peperiksaan Malaysia harus menyediakan satu penilaian dan pengujian khas terhadap murid Tahun 6 dan Tingkatan 3 sekiranya kedua-dua peperiksaan itu dimansuhkan kelak.

“Persoalannya di sini ialah sejauh manakah penilaian dan pengujian khas ini boleh diterima pakai oleh warga pendidikan untuk menilai prestasi murid-murid mereka sekiranya UPSR dan PMR dimansuhkan.

“Saya tidak pasti jika pendekatan baru ini nanti akan membebankan para guru. Bagaimanapun UPSR dan PMR telah lama menjadi landasan pihak pendidikan bagi memilih murid yang benar layak untuk menyambung pelajaran ke maktab rendah atau sekolah khas di negara kita selama ini,” menurut beliau.

Guru SK Keranggas Gayau, Pantu iaitu Gilbert Meur pula menyatakan persetujuannya jika Kementerian Pelajaran Malaysia bertindak memansuhkan UPSR dan PMR pada tahun ini.

Beliau berpendapat bahawa pemansuhan PMR dan UPSR akan mengurangkan tekanan minda murid-murid yang didesak oleh ibubapanya untuk memperoleh keputusan cemerlang menerusi ujian berkenaan.

“Malahan pemansuhan UPSR dan PMR dijangka akan mengurangkan beban para guru yang terpaksa melaksana pelbagai program untuk murid-murid yang bakal menduduki ujian UPSR dan PMR sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun seorang warga pendidik dari SK Muton, Debak iaitu Saleman Senin tidak bersetuju dengan tindakan pihak kementerian untuk memansuhkan UPSR dan PMR selepas ini.

“Murid-murid tidak akan serius dalam pelajaran sekiranya UPSR dan PMR dimansuhkan. Guru-guru yang mempunyai komitmen tinggi untuk melaksanakan tugas akan berhadapan dengan masalah murid tidak serius dalam pelajaran jika keputusan itu dilaksanakan.

“Saya berpendapat bahawa ramai warga pendidik yang tidak akan setuju dengan rancangan ini. Justeru saya meminta kerajaan untuk mempertimbangkan hasrat ini sedalam-dalamnya sebelum ia diputuskan,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment