Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 July, 2010

PDK Sri Aman anjur sukaneka


Caption: SERONOK...Sebahagian daripada aksi petugas PDK dan pelatih OKU yang mengambil bahagian dalam acara sukaneka di Mini Stadium Sri Aman.

SRI AMAN, Rabu (28 Julai) – Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sri Aman telah menganjurkan aktiviti Sukaneka Tahunan 2010 yang berlangsung di Mini Stadium Sri Aman hari ini.

Aktiviti Sukaneka Tahunan PDK Sri Aman 2010 yang membabitkan penyertaan seramai 66 orang pelatih Orang Kurang Upaya (OKU) berdaftar, ibubapa kepada golongan OKU dan penduduk itu telah bermula dari jam 8 pagi hingga jam 10 pagi.

Pengerusi Pusat PDK Sri Aman, Adris Sulong ketika ditemui memberitahu Sukaneka Tahunan PDK Sri Aman 2010 ini bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan silaturahim di antara ibubapa pelatih dan kakitangan PDK Sri Aman selepas ini.

“Aktiviti Sukaneka Tahunan PDK Sri Aman 2010 ini juga secara tidak langsung boleh memotivasikan golongan pelatih OKU di sini agar mereka merasakan tidak tersisih dari kelompok komuniti penduduk dari masa ke semasa.

“Justeru diharap agar aktiviti seperti ini dapat meningkatkan semangat pelatih OKU di PDK Sri Aman dalam menjalani hidup masing-masing seperti biasa di masa akan datang,” katanya.

Bagi menjayakan aktiviti ini, pihak PDK Sri Aman kata beliau telah menganjurkan 13 buah acara sukan bagi Kategori Kanak-Kanak, Kategori Dewasa dan Kategori AJK PDK, Ibubapa, Pelatih dan Petugas pusat berkenaan.

Kategori Kanak-Kanak menerusi aktiviti sukaneka ini menyaksikan kanak-kanak berentap dalam saingan acara mengutip bola, bowling botol, mengail ikan, menyarung stokin / kasut dan menusuk manik.

“Manakala itu Kategori Dewasa pula menyaksikan orang dewasa mengambil bahagian dalam acara melantun bola, memasukkan gelung ke dalam stander, mengisi air dalam botol, membawa bola pingpong dalam sudu dan menyusun tin minuman.

“Kategori seterusnya pula menyaksikan semua pihak mengambil bahagian dalam acara makan roti, berjalan atas blok dan berebut kerusi,” katanya sambil menambah bahawa aktiviti ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada semua pihak dalam bandar Sri Aman ini.

Hadir sama bagi menjayakan aktiviti Sukaneka Tahunan PDK Sri Aman 2010 ialah wakil Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman merangkap penyelaras Pusat PDK Sri Aman, Michael Lised dan penyelia Pusat PDK Sri Aman, Sanny Law.

Tamat.

No comments:

Post a Comment