Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 July, 2010

Kerajaan Pusat bukti komitmen bangunkan pendidikan - Harden


Caption: PENGHARGAAN...Harden (tengah) sedang menyampaikan sijil kepada seorang penceramah program sambil disaksikan oleh (dari kiri) Limok, Bujang, Nasir dan Zawawie pada majlis itu.

SRI AMAN, Sabtu (17 Julai) – Kerajaan Persekutuan terus membuktikan komitmen yang tinggi terhadap usaha bagi mengubahsuai dan menaiktaraf semua sekolah dalam negara khususnya di Sabah dan Sarawak menerusi Bajet 2010 sebelum ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata ia amat penting bagi meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan demi faedah rakyat selaras dengan Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan; Pencapaian Diutamakan.

“Dalam konteks ini Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dan berganding bahu dengan Kerajaan Persekutuan untuk melonjakkan lagi tahap pencapaian dan kualiti pendidikan di Sarawak.

“Justeru Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi sokongan dan bantuan terhadap apa jua perancangan serta komitmen yang telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia bagi meningkatkan tahap kecemerlangan pendidikan di negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) DUN N.27 Simanggang di Dewan Perkasa, Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pakit, Sri Aman hari ini.

Selain itu Harden juga menyeru warga pendidik dalam kawasan Sri Aman untuk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan dan peluang yang disediakan oleh kerajaan agar kualiti pendidikan dapat dipertingkat ke tahap lebih tinggi selepas ini.

“Sasaran kerajaan ialah untuk melahirkan golongan modal insan yang berkualiti. Kegigihan para warga pendidik untuk mendidik anak-anak secara tidak langsung akan dapat mentransformasikan pembangunan negeri Sarawak di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Haji Mudin, Pegawai Memerintah Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Pakit, Leftenan Kolonel Zawawie Adam, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Limok Sem dan Guru Besar SK Kem Pakit, Mohammad Nasir Narawi.

Harden menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan bagi tahun 2010 bernilai RM5,000 kepada PIBG SK Kem Pakit manakala RM12,000 lagi untuk menaja Program Kecemerlangan UPSR DUN N.27 Simanggang pada tahun akan datang.

Seramai 121 orang pelajar dari sembilan buah sekolah dari kawasan DUN Simanggang mengambil bahagian dalam Program Kecemerlangan UPSR DUN N.27 Simanggang bermula 15 Julai hingga 17 Julai.

Tamat.

No comments:

Post a Comment