Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 July, 2010

Badan Korporat diseru bantu laksana program pendidikan

SRI AMAN, Sabtu (17 Julai) – Badan korporat khasnya pihak perbankan dalam bandar Sri Aman diseru untuk menjadikan pendidikan sebagai agenda utama ketika melaksanakan tanggungjawab sosial mereka selepas ini kata Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Haji Mudin.

Ini kerana badan korporat terutama sekali pihak perbankan menurut beliau mempunyai sumber bagi membantu kerajaan dalam mempertingkatkan usaha kecemerlangan akademik dalam kawasan Sri Aman.

“Kita amat memerlukan sumbangan badan korporat dari sekitar Bandar Sri Aman bagi memacu tahap kecemerlangan pendidikan dalam kawasan ini selain dari usaha daripada pihak kerajaan selama ini.

“Pembabitan pihak perbankan dalam usaha ini amatlah dialu-alukan. Justeru saya berharap agar lebih badan korporat tampil bagi membantu kerajaan menjayakan program pendidikan yang dilaksanakan di kawasan Sri Aman di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) DUN N.27 Simanggang di Dewan Perkasa, Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pakit, Sri Aman hari ini.

Selain itu Bujang juga menggesa pihak ibubapa pelajar untuk memberi sepenuh kerjasama terhadap pihak sekolah bagi menjayakan perlaksanaan salah satu cabang perlaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Salah satu cabang NKRA ini ialah pendidikan. Kerajaan memberi banyak fokus dalam bidang pendidikan di negara kita sebagai satu langkah untuk melahirkan modal insan berkualiti di masa akan datang.

“Oleh itu adalah amat penting bagi Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) untuk menjadikan pendidikan sebagai agenda paling utama dalam aktiviti tahunan mereka selepas ini,” katanya.

Program ini telah dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis yang seterusnya mengumumkan peruntukan bagi tahun 2010 berjumlah RM5,000 kepada PIBG SK Kem Pakit dan RM12,000 untuk menaja program terbabit pada tahun akan datang.

Hadir sama ialah Pegawai Memerintah Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Pakit, Leftenan Kolonel Zawawie Adam, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Limok Sem dan Guru Besar SK Kem Pakit, Mohammad Nasir Narawi.

Tamat.

No comments:

Post a Comment