Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 July, 2010

5 mesin Hemodialisis lulus untuk Hospital Sri Aman


Caption: PENERANGAN...Harden (depan kiri) ketika bersama rombongan meninjau pusat Hemodialisis di Hospital Sri Aman.

SRI AMAN, Selasa ( 6 Julai ) – Berita baik untuk pengidap penyakit buah pinggang di Sri Aman. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan penghantaran lima buah mesin HemoDialisis (mesin pencuci buah pinggang) yang baru kepada Hospital Bahagian Sri Aman dalam masa terdekat ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis mengumumkan perkara ini kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke pusat HemoDialisis, Hospital Bahagian Sri Aman hari ini.

“Hospital Bahagian Sri Aman kini mempunyai seramai 27 orang pesakit buah pinggang dan rawatan mereka kini bergantung kepada lima buah mesin HemoDialisis yang masih beroperasi dengan dua lagi mesin diletakkan dalam kedudukan sedia (standby).

“Bagaimanapun setelah saya mengadakan pertemuan dengan pihak KKM baru-baru ini maka pihak mereka berkenaan untuk menambahkan sejumlah lima buah lagi mesin terbabit untuk kegunaan Hospital Bahagian Sri Aman selepas ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang memberitahu kesemua lima buah mesin HemoDialisis yang baru itu akan dapat digunakan oleh Hospital Sri Aman setelah sistem perawatan air Osmosis secara berbalik dipasang di Pusat Dialisis berkenaan selepas ini.

“Terima kasih kita ucapkan kepada pihak KKM kerana telah meluluskan penambahan mesin Dialisis untuk kegunaan semua pesakit Buah Pinggang di Hospital Bahagian Sri Aman,” katanya.

Sementara itu Harden juga menambah bahawa pihak KKM kini masih lagi dalam peringkat perbincangan mengenai tapak pelan untuk membina sebuah hospital baru bagi mengantikan Hospital Bahagian Sri Aman yang lama.

“Kita kini mempunyai tanah lebih dari 50 ekar di kawasan Kejatau bagi tujuan itu yang telah dibeli dengan harga RM7.14 juta. Bagaimanapun kita masih menunggu keputusan daripada pihak Jabatan Kerja Raya bagi tujuan kelulusan berhubung kesesuaian penggunaan tapak tanah ini.

“Jika JKR meluluskan 15 ekar tanah sahaja bagi tujuan ini maka projek pembinaan Hospital Bahagian Sri Aman yang baru boleh dimulakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-10. Namun jika kita mahu menggunakan tapak tanah yang baru maka ia akan memakan masa dari dua hingga tiga tahun mulai sekarang,” menurut beliau.

Justeru Harden berharap agar pihak tertentu tidak menjadikan mesin Hemodialisis dan Hospital Bahagian Sri Aman yang baru sebagai isu politik yang utama di Sri Aman selepas ini.

Tamat.

1 comment: