Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 February, 2010

Kubu Alice akan dibina semula - Harden


Caption: PENGHARGAAN...Ruth sedang menyampaikan cenderamata kepada Harden (tengah) ketika berlangsungnya program terbabit malam tadi.

SRI AMAN, Sabtu (6 Feb) – Satu pelan cadangan telah dikemukakan kepada kerajaan bagi tujuan pembinaan semula Kubu Alice iaitu warisan sejarah terkenal yang terletak dalam Bandar Sri Aman ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata menerusi bantuan sebuah syarikat perunding tempatan, pelan cadangan itu kini masih lagi menunggu kelulusan daripada pihak kerajaan sebelum kerja membina kubu terbabit dilakukan selepas ini.

“Kajian sebelum ini mendapati bahawa kerja membaiki semula Kubu Alice menelan belanja yang lebih tinggi berbanding dengan kerja membina semula kubu bersejarah berkenaan.

“Justeru pihak kita telah mengemukakan pelan cadangan terbabit iaitu membina semula Kubu Alice di atas tapak yang sama sambil mengekalkan ciri struktur dan bahan binaan asal kubu berkenaan,” menurut beliau.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja tamat Program Pentas Tahun Baru Cina Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman 2010 di Mini Stadium Sri Aman malam tadi.

Tanpa menyatakan kos sebenar bagi tujuan pembinaan semula kubu berkenaan, Harden menjelaskan bahawa Kubu Alice perlu dibina semula memandangkan struktur kubu yang sedia ada sekarang telah lemah.

“Saya berharap agar pelan cadangan ini mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Kubu Alice perlu sentiasa ‘ada’ di mata penduduk Sri Aman sebagai warisan sejarah yang cukup terkenal hasil pemerintahan zaman Dinasti Rajah Brooke dahulu,” katanya.

Terdahulu Harden telah menyaksikan Program Pentas Tahun Baru Cina RTM Sri Aman 2010 yang dijayakan oleh lima orang penyanyi Cina tempatan dari dalam kawasan Sri Aman.

Program ini yang bakal disiarkan semula menerusi Bahagian Perkhidmatan Cina RTM Sri Aman pada 14 Februari kelak turut diserikan dengan persembahan Wusyu, tarian dan cabutan tiket bertuah.

Hadir sama ialah Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan dan Desmond Douglas Jerukan, wakil Pengurus RTM Sri Aman, Ruth Apong, para ketua kaum dan penduduk dalam bandar ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment