Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 February, 2010

Belajar cara orang Cina berniaga nasihat Talip


Caption: TAMAT KURSUS...Talip (duduk tengah), Wahbi (duduk kanan), Tan (duduk kiri) merakamkan gambar kenangan bersama peserta kursus di sini hari ini.

SRI AMAN, Isnin (8 Feb) – Peniaga Bumiputera dinasihat untuk mencontohi sikap peniaga kaum Cina sekiranya mahu mengecapi lebih banyak kemajuan dalam perniagaan masing-masing selepas ini.

Menteri Muda Perlancongan dan Warisan, Datuk Haji Talib Zulpilip berkata peniaga kaum Cina telah menunjukkan kesungguhan mereka untuk maju dalam perniagaan dari segi cara pengumpulan modal dan berjimat-cermat selama ini.

“Contohnya dapat kita lihat apabila kebanyakkan peniaga kaum Cina hanya berpakaian ringkas dan berseluar pendek ketika mereka sibuk mengendalikan perniagaan masing-masing selama ini.

“Ia tidak semestinya menunjukkan mereka ini ‘miskin’. Ini kerana mereka mengamalkan sikap berjimat cermat dan tidak mahu membelanjakan untung yang mereka dapat untuk membeli benda yang tidak perlu,” katanya.

Beliau yang Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Kursus Pengurusan Kewangan Untuk Usahawan Sri Aman bertempat di sebuah hotel tempatan dalam bandar ini.

Peniaga kaum Cina ini sebaliknya menurut Talib menggunakan untung berkenaan untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan menjadikan ia sebagai modal tambahan dalam perniagaan masing-masing.

“Persoalannya ialah adakah peniaga Bumiputera kita dapat mencontohi sikap peniaga Cina terbabit? Jika peniaga Bumiputera dapat mencontohi sikap mereka maka saya yakin bahawa mereka juga boleh maju dalam perniagaan masing-masing setanding dengan peniaga kaum Cina di negeri ini,” katanya.

Selain itu beliau juga turut menasihatkan peniaga Bumiputera untuk mengamalkan ‘sikap mahu bayar’ sekiranya mereka mendapatkan pinjaman wang daripada pihak kerajaan khusus sekali SEDC selepas ini.

“SEDC mempunyai skim bantuan untuk mana-mana peniaga yang mahu berjaya dalam bidang perniagaan masing-masing selepas ini. Bagaimanapun pinjaman yang diterima haruslah dibayar kembali sekiranya perniagaan mereka sudah maju selepas itu dan jangan bersikap tidak acuh,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Dr Haji Wahbi Junaidi, Pengarah Bahagian Usahawan SEDC, Haji Jamaluddin Mohd Yusof dan Temenggong Tan Chong Meng.

Seramai 48 orang usahawan Sri Aman telah mengambil bahagian dalam Kursus Pengurusan Kewangan yang berlangsung di hotel berkenaan hari ini.

Tamat.


No comments:

Post a Comment