Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 May, 2020

Isu peletakan jawatan utama PKR Cabang Sri Aman cuma perkara biasa - Tay Nanga Libau


SIMANGGANG: Ketua Penyelaras PKR Parlimen Sri Aman, Tay Wei Wei menyifatkan pengumuman perletakan jawatan pemimpin parti itu bagi peringkat cabang Sri Aman termasuk Ketua Srikandinya semalam  merupakan perkara biasa.

Semalam, Yen Jebeni menerusi satu portal berita telah mengumumkan perletakkan jawatannya sebagai Ketua PKR Cabang Sri Aman bersama dengan beberapa rakan seangkatan yang lain di sini.

Mereka adalah Patricia Limau Pantau (Ketua Wanita PKR Sri Aman), Lawrence Temba (Ketua Angkatan Muda Keadilan) dan beberapa ahli jawatankuasa PKR bagi cabang Sri Aman di sini.

"Perletakkan jawatan kesemua mereka ini adalah merupakan satu proses demokrasi dan juga merupakan satu langkah 'pembersihan' bagi kesemua cabang-cabang PKR di seluruh Malaysia.

"Bagi kami, pemimpin datang dan pergi dan itulah perkara biasa dalam politik parti," kata Tay ketika dihubungi Utusan Sarawak berhubung isu perletakkan jawatan Ketua PKR Cabang Sri Aman berkenaan.

Beliau juga turut memberitahu bahawa masih ramai ahli jawatankuasa PKR cabang Sri Aman termasuk ketua-ketua ranting dan ahlinya yang masih taat kepada parti dan presiden sehingga sekarang.

Tay juga turut memberitahu perletakkan jawatan beberapa pemimpin PKR cabang Sri Aman berkenaan tidak akan menggugat kekuatan pihaknya untuk berjuang demi rakyat di kawasan ini dari masa ke semasa.

Sementara itu, Naib Pengerusi I PKR Cabang Sri Aman, Ismawi Isa menerusi satu kenyataan semalam berkata Jubri Atak akan memangku alih jawatan Ketua PKR Cabang Sri Aman secara automatik berhubung isu tersebut.

"Menurut perlembagaan parti, Jubri Atak selaku Timbalan Ketua PKR Cabang Sri Aman sebelum ini akan bertindak memangku jawatan Ketua Cabang berkenaan ekoran perletakkan jawatan itu oleh  oleh Yen Jebeni," kata beliau.

Ismawi juga turut mengumumkan Tay Wei Wei dipilih sebagai Ketua Penyelaras PKR Parlimen Sri Aman setelah memperoleh banyak sokongan daripada ahli jawatankuasa cabang dan ketua-ketua ranting PKR di bawah parlimen berkenaan.

Tamat.


Rumah Panjang Nanga Ulai, Debak adakan gotong-royong dalam PKPB

DEBAK (19 MEI): Penduduk Rumah Saga Unggut, Nanga Ulai di sini amat menekankan kebersihan di kawasan persekitaran mereka walaupun dalam keadaan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada masa sekarang.


Ia terbukti apabila sejumlah 19 Ketua Keluarga di situ bergabung tenaga untuk melaksanakan aktiviti gotong-royong di kawasan rumah panjang mereka di bawah panduan pengkuatkuasaan PKPB.

"Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nanga Ulai telah mengambil keputusan untuk tidak mengabaikan tahap kebersihan di sini terlalu lama walaupun PKPB sedang dikuatkuasa.

"Atas sebab itulah aktiviti gotong-royong dilaksana agar rumah panjang kami sentiasa bebas daripada kehadiran wabak lain terutama denggi walaupun pandemik COVID-19 menjadi musuh semua pihak pada masa sekarang," kata Tr Saga Unggut.

Menerusi aktiviti gotong-royong berkenaan pihaknya kata beliau telah pun bertindak menebas rumput dan memotong pokok kecil di samping mengumpul serta memusnahkan sampah sarap di sekeliling rumah panjang.

Malahan kerja membersihkan tangki simpanan air terawat katanya juga turut dilaksanakan agar penduduk Rumah Panjang Nanga Ulai sentiada mendapat bekalan air bersih dari masa ke semasa.

Sementara itu jurucakapnya Francis Juing Kadat berkata kesemua penduduk yang terlibat dalam aktiviti gotong-royong ini telah melalui pemeriksaan suhu badan sebelum melakukan kerja masing-masing.

"Ini bagi memastikan kesemua penduduk bebas daripada simptom virus COVID-19 dan tidak menjangkiti mereka yang terlibat dalam aktiviti gotong-royong di sekitar rumah panjang kami," kata beliau.

Francis turut menambah aktiviti gotong-royong di rumah panjangnya selesai pada jam 11.30 pagi dengan kesemua penduduk sekali lagi menjalani pemeriksaan suhu badan bagi mereka sentiasa sihat.

"Tr Saga Unggut mengucapkan terima kasih terhadap semua anak buahnya kerana rela memberikan sokongan dalam menjayakan aktiviti gotong royong pada kali ini walaupun PKPB masih dikuatkuasakan," kata beliau.


Task Force PKPB Sri Aman terus bertugas

Caption: BERTUGAS...Pasukan Task Force PKPB Sri Aman sedang membincangkan sesuatu ketika melakukan pemantauan terhadap premis-premis perniagaan di sekitar Bandar Simanggang.

SIMANGGANG (19 MEI): Pemilik premis perniagaan dan orang ramai di Bandar Simanggang dimohon agar lebih serius mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman, Kapten (PA) Siti Huzaimah Ibrahim berkata pematuhan terhadap PKPB adalah amat penting agar usaha mencegah penularan COVID-19 di sini dapat dilaksana dengan berkesan kelak.

"Kami juga menasihat orang ramai dan pemilik perniagaan di sini agar tidak memandang mudah kelonggaran arahan ini kerana tindakan seperti itu mungkin boleh mempertingkatkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan mereka kelak.

"Justeru tolong patuhi PKPB dari masa ke semasa. Gunakanlah topeng penutup muka dan cecair pembasmi kuman ketika mengunjungi lokasi tumpuan ramai sambil mengamalkan langkah penjarakan sosial antara satu sama lain," kata beliau.

Sementara itu pasukan Task Force PKPB Sri Aman kata Siti telah pun bertindak memeriksa sejumlah 16 premis perniagaan yang sedang beroperasi dalam bandar ini bermula pagi Isnin lepas.

Lapan daripada 16 premis tersebut katanya adalah Borneo Food Court, Tamu Food Court, Sinar Seri Kesang, Singer, Pasar Tamu, Ceria Goldsmith, Zoo Electrical House dan Garden Food Court.

Manakala baki lapan premis lagi katanya adalah Pasar Raya Doraemon DIY, Popular Food Court, Golden City Kopitiam, Wong Enterprise, Champion Inn Kopitiam, Open Air Market dan Pasar Raya Lian Yi.

"Operasi pemantaun PKPB oleh pasukan Task Force terhadap premis-premis perniagaan berkenaan termasuk kilang di Sri Aman telah berjalan lancar tanpa berlakunya sebarang insiden tidak diingini.

"Justeru kami berharap agar pemilik premis terus mematuhi PKPB dan bertindak mencata suhu badan dan mengambil nama pelanggan yang datang berurusan ke tempat mereka jika dikehendaki berbuat demikian sebelum ini,"kata Siti.

Terdahulu pasukan Task Force PKPB Sri Aman ini telah pun dianggotai oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tenteta Malaysia, Majlis Daerah Sri Aman, APM dan Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia.

Tamat


JKKK Taman Seroja Indah, Saratok agih topeng penutup muka


UNTUK ALBUM...Lee Chai Teng (tengah), Kaunselor Chieng Hock Wong dan Chai Choo Yie bergambar kenangan bersama penerima pada upacara ringkas penyerahan topeng penutup mulut dan hidung di Taman Seroja Indah, Saratok pada Jumaat lepas.

SARATOK (16 APRIL): Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) (C) Taman Seroja Indah telah mengagih sejumlah 956 keping topeng penutup hidung dan mulut kepada para ahlinya di sini.

Upacara ringkas pengagihan topeng penutup hidung dan muka berkenaan telah pun dilakukan oleh Pengerusi JKKK tersebut, Lee Chai Teng sambil disaksikan oleh Setiausahanya, Chai Choo Yie, Kaunselor Chieng Hock Wong dan para ahli.

Lee ketika ditemui memberitahu seramai 193 orang ahli JKKKnya telah menerima topeng penutup mulut dan hidung dengan setiap ahli masing-masing menerima lima keping topeng  berkenaan menerusi agihan itu.

"Agihan topeng penutup muka dan mulut ini adalah merupakan salah satu tanggungjawab sosial yang dilaksana oleh pihak JKKK (C) Taman Seroja Indah, Saratok bagi membantu para penghuninya menghadapi penularan pandemik COVID-19 pada masa sekarang.

"Dengan adanya agihan ini maka kita berharap agar para penghuni menggunakan sebaik mungkin topeng tersebut ketika pergi ke kawasan tumpuan ramai dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada masa sekarang," kata Lee.

Beliau juga turut memesan penghuni JKKK (C) Taman Seroja Indah untuk segera ke pejabat kilangnya di sini untuk mendapatkan topeng berkenaan jika mereka masih belum menerima bekalan tersebut pada upacara agihan bekalan itu.

"Saya dan rakan yang lain akan terus menghulur pelbagai bantuan dengan kemampuan sedia ada kepada para ahli JKKK di sini dan seterusnya menasihat mereka agar sentiasa mematuhi panduan PKPB dari masa ke semasa," kata Lee.

Terdahulu JKKK (C) Taman Seroja Indah, Saratok sebelum ini juga pernah melaksana tanggungjawab sosial dengan mengagih bantuan makanan berupa beras 10 kilogram (kg) dan 30 biji telur kepada setiap ahli di penempatan mereka pada 28 Mac lepas.

Tamat


08 May, 2020

Gelagat lelaki berleter timbulkan rasa kurang senang

SIMANGGANG: Suasana aman di sebuah pasar raya dalam bandar ini petang Khamis lepas telah dicemari dengan kehadiran seorang lelaki yang bertindak berleter sendirian di situ sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pelanggan.

Sebahagian pelanggan dilihat berasa waswas manakala pelanggan yang lain pula dilihat bersikap tidak endah walaupun lelaki berkenaan dilihat memegang sebotol minuman keras ketika berleter sendirian di situ.

Pada mulanya lelaki berkenaan hadir di pasar raya tersebut untuk membeli sesuatu sekitar jam 1.40 petang sebelum tabiat buruknya itu mula muncul di kawasan kaki lima premis perniagaan tersebut.

"Saya tidak pasti sama ada lelaki itu siuman atau tidak. Tapi yang pastinya lelaki ini selalu berleter sendirian di mana-mana tempat dalam bandar ini dan sering menunggang motorsikal dengan bising.

"Setakat ini saya tidak pernah mendengar dia mendatangkan kecederaan kepada orang ramai...bagaimanapun gelagat seperti itu boleh menimbulkan rasa kurang senang kepada mereka yang melihatnya dan perlu dihentikan," kata seorang pelanggan lelaki.

Manakala itu, seorang pelanggan wanita yang berada di pasar raya tersebut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan lelaki itu kerana dia tidak menghormati sambutan bulan Ramadan yang sedang berlangsung sekarang.

"Memegang botol minuman keras di khalayak ramai adalah tidak elok. Tambahan pula penduduk muslim kini sedang menyambut bulan Ramadan dan perlu dihormati semua penduduk berlainan agama di dalam bandar ini.

"Justeru saya berharap agar ada pihak tampil memeriksa tahap kesihatan lelaki tersebut dan seterusnya bertindak memberi teguran kepadanya agar berhenti buat demikian di khalayak ramai kelak," kata wanita itu.

Lelaki tersebut dilihat berleter sendirian selama 15 minit di kaki lima pasar raya berkenaan sebelum beredar dengan menunggang motorsikalnya sendiri ke arah Pasar Tamu Sri Aman yang baharu.


8 pelajar terkandas tiba dengan selamat di Sri Aman


SIMANGGANG: Lapan orang pelajar yang terkandas di luar Bahagian Sri Aman akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini telah selamat tiba di bandar ini pada petang Khamis lepas.

Dua buah bas yang membawa pelajar tersebut selamat tiba di Dewan Suarah Sri Aman pada waktu petang dengan kehadiran mereka di situ segera dikendalikan oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman.

"Para petugas APM segera mengendalikan urusan pendaftaran kemasukan kesemua pelajar ini termasuk mereka yang baharu pulang dari Semenanjung Malaysia sebelum setiap mereka dipasang gelang Penjejakan Digital.

"Sebaik sahaja selesai, para petugas kami terus bertindak menyerahkan kesemua pelajar berkenaan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi proses kuarantin," kata pegawainya, Kapten (PA) Siti Huzaimah Ibrahim.

Beliau memberitahu kesemua petugasnya telah memakai Kelengkapan Perlindungan Peribadi (PPE) ketika mengendalikan pelajar tersebut sambil mengamalkan penjarakkan sosial yang selamat.

APM Daerah Sri Aman katanya lagi amat berpuas hati kerana diberikan tugas membantu mengurus kemasukan pelajar tersebut di sini dan akan terus bersedia membantu mana-mana agensi kerajaan yang memerlukan bantuan mereka kelak.

"Kesemua petugas yang terlibat dalam urusan pengendalian dan penghantaran pelajar ke pusat kuarantin di sini telah berangkat pulang ke bilik operasi APM Daerah Sri Aman pada jam 7 petang," kata beliau.

Terdahulu, pelajar Sarawak yang pulang ke zon merah dan kuning wajib melalui memakai gelang Penjejakan Digital agar pergerakan mereka dapat dipantau ketika melalui proses kuarantin di kawasan masing-masing.

Manakala itu, pelajar yang pulang ke zon hijau pula akan di kuarantin hotel bagi mengelak berlakunya penularan pandemik COVID-19  sehingga menjejaskan status zon kawasan tersebut.

Pelajar yang mengunakan penerbangan khas untuk ke pulang ke negeri ini telah di urus oleh Rumah Sarawak di Semenanjung Malaysia dengan kesemua mereka ini berada di asrama tanpa keluar sebelum itu.