Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

04 January, 2012

Wanita juga perlu aktif majukan kampung - Rayong


Caption: RASMI...Rayong sedang memotong reben sebagai simbolik kedatangan beliau ke kawasan rumah panjang berkenaan kelmarin.

ENGKILILI, Selasa (3 Jan) – Golongan wanita harus aktif memandangkan mereka juga boleh berfungsi sebagai pengerak utama Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) di rumah panjang masing-masing dari masa ke semasa.

Justeru wanita juga harus mendapat bantuan daripada kerajaan memandangkan golongan terbabit juga memainkan peranan yang sama dengan kaum lelaki bagi memajukan rumah panjang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Silai Silik, Skim Skrang, Engkilili kelmarin.

“Golongan wanita pada zaman sekarang juga sudah berjaya membuktikan keupayaan mereka dalam mengecapi pelbagai kejayaan dari segi bidang politik, ekonomi dan sosial yang bertaraf tinggi.

“Justeru saya tidak nampak sebarang alasan bahawa golongan wanita tidak boleh menyumbang tenaga untuk memajukan rumah panjang masing-masing dengan bantuan kaum lelaki selepas ini,” katanya.

Selain itu Rayong juga menasihatkan rakyat dalam kawasan Engkilili agar tidak mudah mendengar propaganda politik daripada pihak pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini nanti.

Katanya penerimaan rakyat terhadap propaganda terbabit hanya akan menjejaskan usaha pembangunan yang sedang atau bakal dirancang di kawasan penempatan masing-masing selepas itu.

“Paling penting ialah rakyat dalam kawasan luar bandar khasnya di Engkilili menjalinkan hubungan kerjasama terhadap kerajaan dengan memastikan kemenangan BN pada PRU13 kelak,” katanya.

Rayong menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada JKKK Rumah Silai dan RM5,000 lagi kepada biro wanita rumah panjang itu sambil disaksikan oleh ketua kaum dan 17 Tuai Rumah dari kawasan Engkilili.

Tamat.



Ruangan Khas Utusan Sarawak : Keluarga Bada Umpek dari Kesindu, Simunjan dihimpit kemiskinan







Caption:

1. DAIF...Bada bersama isteri, Liana dan dua orang anaknya iaitu Cassidy dan Albert ketika bergambar dihadapan pondok usang mereka di Kampung Kesindu.

2. TIADA RUANG...Keempat-empat orang beranak ini terpaksa tidur di ruang tamu memandangkan ketiadaan bilik di dalam pondok usang yang mereka bina selama ini.

3. KOTOR...Kedaifan hidup keluarga Bada nyata boleh digambarkan menerusi ruang dapur di kediaman mereka.

4. SERBA KEKURANGAN...Bada menunjukkan kolam takungan air di belakang rumahnya yang digunakan untuk tujuan mandi, membasuh pakaian, air minum dan membasuh pinggan mangkuk selama ini.

5. SALING MEMBANTU...Bada sedang membantu isterinya mengemas dapur ketika berlangsungnya rutin kehidupan harian mereka di pondok usang berkenaan.

6. BEKERJA...Bada sedang menjemur biji buah betik untuk ditanam di kawasan belakang pondok usangnya ketika ditemui Utusan Sarawak.

7. PERLU BANTUAN...Gambar menunjukkan keadaan pondok usang yang didiami oleh Bada bersama isteri dan anaknya semenjak lima tahun lepas.

SIMUNJAN, Isnin (2 Jan) – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah kesempitan hidup yang boleh digambarkan terhadap keluarga Bada anak Umpek dari Rumah Gana Jampong, Kesindu, Simunjan.

Dengan usia meniti 55 tahun, Bada bersama isterinya iaitu Liana Bahol, 53, tinggal di sebuah pondok usang bersama dengan dua orang anak lelakinya iaitu Remmy Casidy, 13, dan Henry Albert, 12 tahun.

“Kami empat beranak hanya mampu menyaksikan kebanyakkan keluarga bahagia di Kampung Kesindu meraikan sambutan tahun baru dengan penuh meriah dari pondok usang ini,” ujar beliau dengan penuh sedih ketika ditemui Utusan Sarawak kelmarin.

Hanya disebabkan faktor umur meniti 50 tahun pada tahun 2006 lepas, Bada dianggap tidak mampu lagi bekerja oleh pihak majikannya di Kuching hingga memaksa beliau dan keluarganya pulang ke Kampung Kesindu selepas itu.

Bermula dari saat itulah keluarga miskin terbabit terpaksa mengharungi suasana kehidupan miskin dan hanya mampu membina sebuah pondok usang tidak jauh dari penempatan utama penduduk dalam kampung berkenaan.

Ketiadaan sumber pendapatan berasaskan getah dan lada menyebabkan beliau menempuh hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dengan mengambil upah bekerja dengan orang lain.

“Saya dan isteri tidak mempunyai getah atau lada. Atas sebab ini saya terpaksa mengambil upah bekerja dengan orang untuk meraih pendapatan antara RM200 hingga RM300 sebulan.

“Hampir kesemua hasil pendapatan ini saya dan isteri gunakan untuk tujuan persekolahan anak-anak. Sedikit sahaja daripada jumlah pendapatan ini kami empat beranak gunakan untuk membeli makanan seharian,” katanya.

Beliau bersama keluarga terpaksa tidur di ruang tamu memandangkan ketiadaan bilik, memasak di ruang dapur dalam keadaan ruang yang kotor dan mandi di kolam takungan air di kawasan terbuka belakang rumah pada setiap hari.

Jika mahu menonton televisyen pun keempat – empat orang beranak ini terpaksa berkunjung di rumah saudara-mara mereka tidak jauh dari situ sebelum pulang pondok dengan meredah kawasan bersemak-samun pada waktu malam.

“Saya dan isteri juga mempunyai tujuh orang anak yang lain bermula dari yang paling tua iaitu Flora (35), Romeo (32), Jackson (30), Martini (28), Zamri (23), Mohd Faiz (20) dan Nor Katika (14).

“Faiz dan Kartika sudah diambil orang sebagai anak angkat manakala Flora, Romeo dan Martini pun sudah berkahwin dengan Jackson dan Zamri masih bujang. Pendapatan mereka juga amat kurang dan tidak mampu membantu kami empat beranak,” katanya.

Kesempitan hidup selama ini telah memaksa Bada dan isteri cuba memohon bantuan khas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun ditolak oleh pihak berkenaan atas sebab-sebab tertentu.

“Kononya ada orang tertentu yang melapor kepada pihak JKM bahawa kami sekeluarga sudah pun berpindah semula ke Kuching. Ia merupakan satu fitnah dan saya berharap agar pihak terbabit insaf terhadap perbuatan mereka selepas ini,” dakwa beliau.

Bada di akhir perbualan bersama Utusan Sarawak nyata mengimpikan sebuah rumah baru yang sederhana dengan segala-galanya cukup untuk keselesaan keluarganya termasuk bilik, ruang dapur serta bilik.

“Amat memadai buat kami sekeluarga untuk memperoleh sebuah rumah baru yang diberi menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin atau PPRT. Justeru saya berharap agar kerajaan menerusi agensinya memberi belas kasihan terhadap kami selepas ini,” katanya.

Utusan Sarawak turut difahamkan bahawa adik beliau iaitu Lebat anak Umpek turut mengharungi kehidupan yang penuh daif bersama isteri dan lapan orang anaknya disebuah rumah usang dalam kampung berkenaan.

Tamat.

Kemudahan pertanian rakyat jadi fokus kerajaan - Masir

Caption: UNTUK RAKYAT...Masir (empat kanan) ketika bersama para penerima, ketua kaum dan kakitangan kerajaan pada majlis penyerahan mesin itu di Pasar Lachau, Pantu baru-baru ini.

PANTU, Isnin (2 Jan) – Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa menitikberatkan kemudahan pertanian untuk semua rakyat dalam negeri ini demikian menurut Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.

Ia menurut beliau telah terbukti apabila kerajaan memberikan kemudahan pertanian secara percuma kepada semua rakyat luar bandar di negeri ini demi memudahkan kerja pertanian masing-masing dari masa ke semasa.

“Kerajaan BN mahu melihat status kehidupan rakyat dalam kawasan luar bandar dipertingkat dengan adanya bantuan peralatan yang dianggap mampu memacu aktiviti pertanian mereka.

“Justeru kerajaan berharap taraf ekonomi rakyat dalam kawasan luar bandar akan terus meningkat lebih baik berbanding sebelum ini dengan adanya penyaluran bantuan peralatan pertanian selepas itu,” katanya.

Masir berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai menyempurnakan Majlis Penyerahan Enjin Pelerai Padi dan Pemproses Getah di Pasar Keranggas Gayau atau Lachau, Pantu baru-baru ini.

Selain itu beliau juga mahu rakyat di kawasan luar bandar khas di Parlimen Sri Aman untuk terus menyokong teguh kerajaan pimpinan BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

“Saya yakin bahawa usaha pembangunan di kawasan Parlimen Sri Aman akan dapat terus diperhebatkan di masa akan datang dengan adanya BN sebagai kerajaan mereka selepas tamat PRU13 nanti,” menurut beliau.

Terdahulu Masir menerusi majlis itu telah menyerahkan sebanyak 10 buah unit Mesin Pelerai Padi dan lima buah mesin pemproses getah kepada rumah panjang dalam kawasan Parlimen Sri Aman.

Kesemua mesin pemproses getah dan pelerai padi berkenaan telah disalur menerusi Majlis Pembangunan Pertanian di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan atau FAMA.

Tamat.

Generator nyaris undang trajedi kebakaran terhadap sebuah keluarga


SRI AMAN, Isnin (2 Jan)– Sambutan Tahun Baru 2012 nyaris bertukar menjadi trajedi buat sebuah keluarga dari sebuah kampung dalam Bahagian Sri Aman apabila kotak suis di rumah mereka tiba-tiba terbakar malam tadi.

Menurut sumber, keluarga terbabit bersama dengan penduduk kampung yang lain masih bergantung kepada penggunaan enjin janakuasa elektrik memandangkan Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) masih belum disalurkan ke kampung mereka sebelum ini.

Keluarga berkenaan kata sumber mula menyedari bahawa sesuatu tidak betul berlaku terhadap enjin janakuasa elektrik milik mereka apabila peralatan equalizer mula hangus dan mengeluarkan asap pada 27 Disember lepas.

“Pada 28 Disember pula, ketika enjin janakuasa elektrik tersebut digunakan, televisyen dan modem Astro milik keluarga terbabit pula mula rosak sebelum ia diikuti dengan kipas syiling.

“Setelah diperiksa, keluarga berkenaan mendapati bahawa gegelung dawai pada pengawal arus enjin terbabit tidak lagi kenyal. Ia menjadi punca arus elektrik yang dikeluarkan oleh enjin terbabit tidak terkawal,” katanya.

Setelah dibaiki, keluarga berkenaan kembali menggunakan enjin janakuasa elektrik malam tadi sebelum salah seorang ahli keluarga mereka mengesan pengecas bateri telefon bimbit yang masih dilekatkan pada kotak fius di rumah mereka terbakar.

Pengecas bateri telefon bimbit terbabit kata sumber telah terbakar bersama kotak fius berkenaan hingga cairan polimer alat tersebut mula menitik di atas lantai simen rumah keluarga terbabit.

“Mujurlah tilam tidak diletakkan di bawah kotak suis berkenaan. Ahli keluarga berkenaan cepat-cepat bertindak merentap alat pengecas bateri berkenaan sambil menutup enjin janakuasa elektrik terbabit selepas itu,” katanya.

Kejadian berkenaan telah menyebabkan seisi keluarga terbabit berasa kesal dan akan bertindak lebih-lebih berhati untuk menggunakan enjin janakuasa elektrik tersebut selepas ini.

Tamat.


02 January, 2012

Keberanian juga ada batasnya

Caption: BERISIKO ATAU TIDAK? Gambar menunjukkan sejumlah ramai penduduk ketika menumpang sebuah lori yang menuruni kawasan jalan raya bercuram di kawasan Bukit Begunan, Sri Aman.

SRI AMAN, Sabtu (31 Dis) – Keberanian juga mempunyai batasnya lebih-lebih lagi ketika anda sedang memandu ataupun menumpang sesebuah kenderaan itu di kawasan jalan raya yang dianggap amat berbahaya.

Ini kerana sedikit kecuaian akan menyebabkan nyawa pemandu bersama penumpang ditimpa bahaya kemalangan disebabkan oleh keberanian yang cuba ditempuh oleh mereka sebelum itu.

Terbaru penulis telah berupaya mengambil gambar sebuah lori yang sedang membawa ramai penumpang (dipercayai pekerja) ketika sedang menuruni jalan raya kawasan Bukit Begunan, Sri Aman pada 23 Disember lepas.

Keberanian pemandu dan penumpangnya menuruni laluan jalan raya Bukit Begunan yang curam itu menyebabkan timbulnya pertanyaan dalam diri penulis terhadap bahaya yang ditempuhi oleh golongan terbabit.

Sudahlah ramai, ada di antara penumpang yang duduk di belakang lori berkenaan dilihat oleh penulis bertindak seakan-akan biasa tanpa mengendahkan risiko kemalangan ketika menuruni jalan kawasan tersebut.

Sememangnya tidak dapat dibayangkan akibatnya jikalau lori berkenaan hilang kawalan terhadap brek dan seterusnya meluncur laju menuruni laluan jalan raya Bukit Begunan berkenaan.

Justeru membawa sejumlah penumpang yang ramai dalam sesebuah lori bukanlah satu perkara bijak melainkan jika kesemua mereka duduk di belakang lori terbabit dengan amalan keselamatan sempurna.

Seboleh-bolehnya janganlah penumpang lori berkenaan bertengek di tepi belakang lori tersebut memandangkan satu kesilapan kecil ketika menuruni kawasan Bukit Begunan boleh membawa padah kepada dirinya sendiri.

Lagipun Bukit Begunan sering dianggap sebagai kawasan ‘keras’ selama ini maka diharap agar pengguna kenderaan mengamalkan sikap waspada ketika memandu di kawasan jalan raya berkenaan.

Tamat.

SJK Chung Hua Pantu jadi tumpuan ibubapa daftar anak sekolah pada 30 Disember


Caption: SIBUK...Seorang guru pra sekolah SJK Chung Hua Pantu kelihatan sedang menguruskan sesi pendaftaran kemasukan kanak-kanak di sini kelmarin.

PANTU, Sabtu (31 Dis) – Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Pantu menjadi tumpuan ibubapa apabila mereka mula mendaftarkan kemasukan anak-anak ke sekolah itu bermula jam 8 pagi kelmarin.

Namun yang lebih menjadi tumpuan kali ini ialah sesi pendaftaran anak-anak bagi kemasukan kelas pra sekolah di SJK Chung Hua Pantu yang akan bermula pada 4 Januari hadapan.

Tinjaun Utusan Sarawak hari ini mendapati bahawa kebanyakkan kaum ibu sibuk menguruskan kemasukan anak-anak ke sesi tadika dua bagi tahun 2012 yang pernah menuntut di kelas tadika satu sekolah terbabit pada tahun lepas.

“Sesi pra sekolah di SJK Chung Hua Pantu nampaknya berbeza kali ini apabila kanak-kanak tadika tahun dua akan digabungkan bersama dengan kanak-kanak yang baru memulakan sesi pra sekolah bagi tahun ini.

“Dengan kata lain kemasukan murid tadika baru nampaknya ada had kali ini. Ibubapa kanak-kanak yang ada menerima surat tawaran untuk menuntut di kelas pra sekolah SJK Chung Hua Pantu boleh dianggap amat bertuah,” kata seorang kaum ibu.

Beliau yang baru memasukkan anaknya ke sesi pra sekolah tahun ini nyata memilih SJK Chung Hua Pantu memandangkan sekolah berkenaan menawarkan pembelajaran Bahasa Mandarin.

Dengan menguasai Bahasa Mandarin seiring dengan Bahasa Malaysia dan Inggeris, beliau berharap agar anaknya mempunyai kelebihan dalam saingan dunia pekerjaan di masa akan datang.

“Sekolah Kebangsaan juga baik. Tapi sebagai ibubapa kita berhak menentukan masa depan hidup anak-anak kita sendiri dengan menghantar mereka ke sekolah jenis kebangsaan dari masa ke semasa,” katanya.

Tinjauan Utusan Sarawak juga mendapati ada ibubapa yang sanggup berbincang dengan pihak guru pra sekolah SJK Chung Hua Pantu agar anak mereka mendapat tempat dalam kelas terbabit bagi sesi pembelajaran tahun ini.

Tamat.

Azam Tahun Baru 2012 harap negara tidak dilanda kemelesatan ekonomi



Mugshot :

1. JAMES...Impak ekonomi

2. MATHEW...Harus sedia

SRI AMAN, Sabtu (31 Dis) – Sebaik sahaja jarum saat angka berdetik melimpasi jam 12 tengah malam pada 31 Disember ini maka penduduk seluruh dunia akan bersama-sama merayakan sambutan Tahun Baru 2012.

Dengan tibanya tahun 2012 maka segala aktiviti penting yang pernah dilakukan oleh mereka sama ada gagal atau berjaya semestinya akan menjadi nostalgia buat mereka bagi tahun 2011.

Pengalaman manis dan buruk dalam hidup yang pernah dilalui oleh mereka sepanjang tahun 2011 juga bakal mewujudkan kesedaran baru untuk berubah menjadi lebih baik bagi tahun 2012 ini.

Malah ada di antara mereka yang berharap agar tahun 2012 memberi masa depan yang lebih baik terhadap dunia khasnya negara Malaysia dalam menghadapi pelbagai krisis akan datang.

“Azam untuk memajukan diri tidak akan bermakna sekiranya keadaan dunia yang tidak menentu memberi impak terhadap negara kita pada tahun 2012 kelak,” Pengawal Keselamatan dari syarikat Safeguards G4S, James Ngumbang, 33 tahun.

James yang rajin mengikuti isu ekonomi dunia menerusi media cetak berkata bahawa beliau khuatir keadaan ekonomi tidak menentu dikalangan negara Eropah boleh memberi impak negatif terhadap ekonomi negara ini pada tahun 2012.

“Apa gunanya azam mahu memajukan diri jika negara mengalami kemelesatan ekonomi disebabkan oleh faktor itu? Justeru adalah lebih baik jika kita berdoa agar kemelut ekonomi di negara Eropah dapat diselesaikan pada tahun 2012 ini,” katanya.

Manakala itu rakan sejawat beliau iaitu Mathew Doren, 30, pula berharap bahawa agar Kerajaan Pusat termasuk Kerajaan Negeri bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dari pelbagai segi pada tahun 2012 nanti.

Beliau berharap agar kerajaan bukan sahaja mampu menangani kemungkinan kemelut ekonomi pada tahun 2012 malah mampu menangani sebarang kejadian bencana yang mungkin berlaku pada tahun itu.

“Tahun 2011 telah menyaksikan banyak negara di kawasan Asia Tenggara dilanda banjir. Ia bencana alam yang jarang berlaku di kawasan rantau negara pada penghujung tahun terbabit.

“Mujurlah negara kita mampu menangani isu ini dengan baik. Oleh itu saya berharap agar kerajaan kita akan menjadi lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dari segi politik, ekonomi dan sosial pada tahun 2012 kelak,” katanya.

Tamat.